Bekalan rumah mampu milik terus meningkat

Bekalan rumah mampu milik terus meningkat

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasaran perumahan Malaysia menunjukkan perkembangan yang semakin memberangsangkan apabila bekalan rumah pada harga lebih rendah terus meningkat, disokong oleh pertumbuhan ekonomi, inisiatif kerajaan dan inovasi sektor swasta, menurut JUWAI IQI.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan JUWAI IQI, Kashif Ansari berkata, walaupun cabaran kos sara hidup masih wujud, hala tuju pasaran perumahan negara kini bergerak ke arah yang lebih positif dan inklusif.

“Malaysia sedang mencatat kemajuan sebenar dalam isu kemampuan perumahan. Kadar pemilikan rumah kekal tinggi pada sekitar 78 peratus dan lebih separuh daripada transaksi kediaman pada 2024 melibatkan rumah berharga RM300,000 atau kurang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Kashif, peningkatan jumlah transaksi pada paras harga lebih rendah menunjukkan penambahbaikan ketara dari sudut bekalan, khususnya untuk pembeli rumah pertama dan isi rumah berpendapatan sederhana.

“Ini membuktikan bahawa pasaran semakin responsif terhadap keperluan rakyat.

“Rumah pada harga lebih rendah kini semakin mudah didapati, terutama di lokasi yang lebih strategik dengan reka bentuk yang lebih efisien,” katanya.
Menurutnya, pertumbuhan ekonomi memainkan peranan paling besar dalam menjadikan pemilikan rumah lebih realistik untuk rakyat.

“Apabila ekonomi berkembang, ia mewujudkan lebih banyak pekerjaan bergaji tinggi, meningkatkan pendapatan isi rumah dan secara langsung memperkukuh keupayaan rakyat untuk memiliki rumah,” jelasnya.

Dalam masa sama, Beliau berkata, kestabilan sektor kewangan dan rangka kerja pembiayaan yang berhemah terus melindungi pembeli rumah daripada risiko hutang berlebihan, sekali gus memastikan pasaran perumahan kekal sihat dalam jangka panjang.

Ujarnya, golongan muda dan pasangan baru berkahwin berada dalam kedudukan yang semakin baik hasil pelbagai inisiatif kerajaan seperti Skim Rumah Pertamaku, PR1MA, skim sewa beli, jaminan kredit perumahan dan pengecualian duti setem.

“Lebih awal golongan muda memasuki pasaran, lebih cepat mereka dapat mengunci kos perumahan yang stabil dan membina kekayaan jangka panjang melalui ekuiti hartanah.

“Memiliki rumah sendiri memberikan rasa selamat dan kestabilan. Selepas pinjaman selesai dibayar, kos perumahan akan turun dengan ketara, membolehkan isi rumah menikmati kualiti hidup yang lebih baik pada fasa seterusnya kehidupan,” katanya.

Kashif optimis gabungan dasar kerajaan yang konsisten, penglibatan aktif pemaju swasta dan pertumbuhan ekonomi yang berterusan akan menjadikan perumahan semakin mampu milik.

“Pasaran sedang bergerak ke arah yang betul. Dengan pendapatan yang terus meningkat dan penawaran rumah yang lebih sepadan dengan keperluan rakyat, pemilikan rumah di Malaysia akan menjadi semakin inklusif dan mampan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×