Rakyat berpandangan negatif terhadap sistem keadilan - Nasrudin - Utusan Malaysia

Rakyat berpandangan negatif terhadap sistem keadilan – Nasrudin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Pas berpendapat Peguam Negara, Tommy Thomas perlu segera melepaskan jawatannya ekoran tindak-tanduk yang didakwa mencampuri perjalanan inkues Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim.

Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan berkata, sekiranya Tommy tidak berbuat demikian, pandangan rakyat terhadap sistem keadilan negara akan menjadi negatif terutamanya Jabatan Peguam Negara.

Menurut beliau, pengakuan peguam Syazlin Mansor yang menyebut ada elemen tekanan ke atas beliau sudah memperlihat kewujudan campur tangan pihak lain sehingga menyaksikan ketidakadilan dalam proses inkues tersebut.

“Saya lihat kes Muhammad Adib ini tidak diberikan keadilan yang sewajarnya kerana belum pun lagi berlaku proses perbicaraan yang saksama dan adil di mahkamah, kita dah nampak ada bias dan tekanan yang diakui sendiri oleh peguam.

“Justeru, kami mengambil langkah mendesak Tommy letak jawatan sebagai sebab dia tidak layak mewakili Jabatan Peguam Negara,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Pas Kedah di Kompleks Pas negeri, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pesuruhjaya Pas negeri, Dr. Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi.

Semalam, Syazlin yang sebelum ini menarik diri daripada prosiding inkues kematian Allahyarham Muhammad Adib berpendapat ada cubaan untuk mengacau ganggu kes tersebut oleh pihak tertentu.

Mengulas lanjut, Nasrudin berkata, beliau percaya bukan setakat Pas yang mendesak Tommy berundur diri, bahkan pihak lain termasuk beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut mempunyai hasrat sama.

“Sekretariat Ummah juga akan membuat jelajah ke seluruh negara selepas ini bagi membuat penjelasan berhubung kepincangan tersebut kerana kita mengikuti perkembangan kes dan berharap ia dibicarakan secara adil,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×