Israel syak rundingan gencatan senjata satu perangkap

Israel syak rundingan gencatan senjata satu perangkap

GAMBAR menunjukkan tentera Israel beroperasi di Rafah, selatan Gaza, kelmarin. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Kerajaan Israel beranggapan tindakan menghantar pasukan rundingan ke Kaherah adalah satu kesilapan pihaknya yang tunduk kepada kehendak kumpulan pengantara.

Menteri Kewangannya, Be­zalel Smotrich berkata, menghantar delegasi ke Kaherah adalah seperti jatuh ke dalam perangkap manipulatif yang ditetapkan oleh Hamas bersama Qatar dan Mesir.

“Inilah masanya untuk menekan lebih pada leher pemimpin Hamas, Yahya Sinwar dan tenteranya sehingga mereka dimusnahkan.

“Anda tidak boleh menyerah kepada tekanan antarabangsa dan tidak boleh berhenti sehingga kemenangan dan pe­nyerahan musuh. Ini adalah perang kemerdekaan kita dan kita mesti memenanginya, kata ahli politik sayap kanan itu pada X.

Smotrich membuat kenya­taan itu selepas delegasi yang terlibat dalam rundingan me­nuju ke Kaherah untuk menyertai rundingan gencatan senjata berkenaan.

TIGA PERKARA MESTI DICAPAI

Sumber berkata, pasukan Israel itu ke Kaherah untuk mendengar dan bertanya soalan berdasarkan jurang yang ketara tanpa memberi butiran lanjut.

Smotrich seterusnya berkata bahawa untuk menang, hanya tiga perkara mesti dicapai dalam perjanjian untuk memulihkan keselamatan kepada penduduk di selatan Gaza.

Fasa pertama akan terdiri daripada jeda dalam pertempuran dan pembebasan tebusan warga emas, wanita awam dan kanak-kanak.

Malah, penghantaran makanan dan ubat-ubatan ke Gaza yang menghadapi krisis kemanusiaan akan disambung semula.

Fasa kedua pula menyaksikan pembebasan askar wanita Israel dan satu lagi, peningkatan dalam penghantaran bantuan dan pemulihan perkhidmatan utiliti ke Gaza.

Manakala fasa ketiga me­nyaksikan pembebasan mayat tentera Israel yang mati sebagai pertukaran untuk tahanan Pa­lestin di Israel.

Sejurus selepas pencapaian ketiga-tiga perkara itu, katanya, pihaknya akan terus ke Deir al-Balah dan akan menyelesaikan isu batalion Hamas yang tinggal di sana.

OPERASI KETENTERAAN DITERUSKAN

Kabinet perang Israel memutuskan untuk meneruskan ope­rasi di Rafah walaupun Gerakan Penentangan Pa­lestin Hamas menerima cada­ngan Qatar-Mesir untuk gencatan senjata di Gaza, Isnin lalu.

Sejak itu, Rafah mengalami serangan udara dan tembakan yang diperhebatkan oleh Israel di semua kawasannya terma­suk kawasan perumahan.

Menurut agensi berita rasmi Palestin, WAFA, 35 orang terbunuh dan 129 yang lain cedera di Rafah dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Kira-kira 1.4 juta penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal berlindung di Rafah, dengan ramai yang dipindahkan dari kawasan lain yang dimusnahkan oleh Israel dalam sera­ngan ketenteraan yang berte­rusan ke atas kawasan yang dikepung itu.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, 34,844 rakyat Palestin terbunuh, dan 78,404 cedera dalam pembunuhan beramai-ramai Israel yang berterusan di Gaza bermula pada 7 Oktober lalu.

Sekurang-kurangnya 11,000 orang tidak dapat dikesan, dianggap mati di bawah runtuhan rumah mereka di seluruh Gaza.

Pertubuhan Palestin dan antarabangsa mengatakan bahawa majoriti yang terbunuh dan cedera adalah wanita dan kanak-kanak.

Perang Israel mengakibatkan kebuluran teruk, kebanyakannya di utara Gaza, mengakibatkan kematian ramai rakyat Palestin, kebanyakannya kanak-kanak.– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×