TEL AVIV: Israel menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-76 dengan hati yang penuh dengan kesedihan dan kesakitan memandangkan perang dengan Hamas di Gaza masih belum berakhir.
Lapor The Times of Israel, negara itu juga berdepan kesedihan kehilangan nyawa anggota tentera dan orang awam beberapa bulan lalu serta paling utama nasib tebusan yang masih ditahan di Gaza.
Lebih tujuh bulan selepas pembunuhan beramai-ramai oleh Hamas pada 7 Oktober lalu di selatan Israel, hari itu menyaksikan konflik berterusan di dalam Gaza, tembakan roket ke selatan Israel dan serangan merentasi sempadan utara oleh Hezbollah.
Hari Kemerdekaan sebelum ini menyaksikan ratusan ribu rakyat Israel berduyun-duyun ke taman dan pantai untuk barbeku dan berkelah bersama rakan dan keluarga, tetapi tahun ini kebanyakannya kosong.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menghantar surat kepada Presiden Israel, Isaac Herzog mengucapkan tahniah atas kemerdekaan Israel dan berharap untuk tahun yang lebih aman di hadapan ketika Israel menandakan cuti itu.
Dalam suratnya kepada Herzog, Biden menyatakan bahawa sebagai negara pertama yang mengiktiraf kemerdekaan Israel pada tahun 1948, AS berbangga dengan hubungannya yang berkekalan dengan Israel.
“Ikatan kami disokong oleh nilai demokrasi yang dikongsi bersama, kepentingan bersama dan pertalian budaya,” tulis Biden di tengah-tengah hubungan yang tegang dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
“Tahun lalu amat menyakitkan kerana Israel mengalami serangan terburuk dalam sejarahnya pada 7 Oktober 2023,” katanya.
Biden mengakui suasana muram Hari Kemerdekaan Israel ke-76, yang pertama sejak pembunuhan beramai-ramai 7 Oktober lalu apabila Hamas dikatakan membunuh 1,200 orang dan menculik 252 orang, 128 daripadanya masih ditahan di Gaza.
“Tetapi orang Israel menunjukkan kekuatan dan ketabahan yang luar biasa,” kata Biden.
Presiden AS itu mengulangi bahawa dia adalah penyokong Israel seumur hidup dan menyatakan bahawa komitmen AS terhadap keselamatan Israel.










