Israel, Hamas tolak tindakan ICC menangkap pemimpin mereka

Israel, Hamas tolak tindakan ICC menangkap pemimpin mereka

BENJAMIN Netanyahu tiba di mesyuarat puak parti Likudnya di Knesset, Parlimen Israel, di Baitulmuqaddis. -REUTERS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAFAH: Israel dan Hamas yang terlibat dalam pertempuran sengit di Gaza, kedua-duanya menolak tindakan menangkap pemimpin mereka kerana jenayah perang yang dibuat.

Pendakwa raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) Karim Khan berkata, beliau memohon waran tangkap untuk pemimpin tertinggi Israel dan Hamas berhubung konflik itu.

Israel membidas tindakan itu sebagai menghina sejarah tuntutan yang menyasarkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanan, Yoav Gallant manakala kumpulan Hamas berkata mengutuk sekeras-kerasnya tindakan itu.

Sekutu utama Israel, Amerika Syarikat (AS) turut sama menyertai kutukan itu manakala Perancis berkata, mereka menyokong kebebasan mahkamah.

Netanyahu berkata, beliau menolak perbandingan pendakwa raya The Hague antara Israel demokratik dan pembunuh besar-besaran Hamas.

Karim berkata dalam satu kenyataan bahawa dia sedang mendapatkan waran terhadap pemimpin Israel untuk jenayah termasuk pembunuhan dengan sengaja, pemusnahan dan, atau pembunuhan serta kebuluran.

Beliau berkata Israel melakukan jenayah terhadap kemanusiaan semasa perang yang dimulakan oleh serangan Hamas pada 7 Oktober lalu yang tidak pernah berlaku sebelum ini, sebagai sebahagian daripada serangan meluas dan sistematik terhadap penduduk awam Palestin.

Karim juga berkata pemimpin Hamas termasuk Ismail Haniyeh yang berpangkalan di Qatar dan Ketua Gaza, Yahya Sinwar, memikul tanggungjawab jenayah atas tindakan yang dilakukan semasa serangan 7 Oktober lalu.

Ini termasuk mengambil tebusan, rogol dan tindakan keganasan seksual lain dan penyeksaan, katanya.

“Undang-undang antarabangsa dan undang-undang konflik bersenjata terpakai kepada semua.

“Tiada askar, tiada komander, tiada pemimpin awam,  tiada siapa boleh bertindak tanpa hukuman,” kata Karim.

Waran itu jika diberikan oleh hakim ICC bermakna mana-mana daripada 124 negara anggota ICC secara teknikalnya akan diwajibkan untuk menangkap Netanyahu dan yang lain jika mereka pergi ke sana, satu perkara yang dinyatakan oleh Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah, Josep Borrell.

Bagaimanapun, mahkamah tidak mempunyai mekanisme untuk menguatkuasakan warannya.

Presiden AS, Joe Biden mengecam permohonan kepada ICC itu yang dianggap sebagai keterlaluan dan berkata tidak ada persamaan di antara Israel dan Hamas.

Jerman bersetuju dengan jurucakap Kementerian Luar berkata, waran itu memberikan kesan palsu tentang kesetaraan.

Biden juga menolak tuduhan di tribunal berasingan, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di mana Afrika Selatan mendakwa bahawa perang Israel di Gaza adalah pembunuhan beramai-ramai.

“Apa yang berlaku bukanlah pembunuhan beramai-ramai,” Biden memberitahu dalam acara Bulan Warisan Yahudi Amerika di White House, semalam.

Afrika Selatan mengalu-alukan langkah itu di ICC. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN