BAITULMUQADDIS: Tentera Israel menggesa penduduk Gaza yang tinggal di timur Rafah untuk menuju ke kawasan kemanusiaan yang diperluaskan di wilayah Palestin, menjelang operasi ketenteraan yang dijangkakan di bandar selatan Gaza.
“Pasukan pertahanan Israel (IDF) menggalakkan penduduk Rafah timur untuk maju ke arah kawasan kemanusiaan yang diperluaskan,” kata tentera dalam satu kenyataan.
Prospek pencerobohan di Rafah mencetuskan kebimbangan kumpulan bantuan kemanusiaan dan pemimpin dunia.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken berkata, Israel masih belum membentangkan perancangan yang boleh dipercayai untuk benar-benar melindungi orang awam yang berada dalam bahaya dan tanpa rancangan sedemikian, AS tidak dapat menyokong operasi ketenteraan besar ke Rafah.
Tidak lama selepas perang di Gaza bermula pada 7 Oktober lalu, Israel memberitahu penduduk Palestin yang tinggal di utara Gaza untuk berpindah ke zon selamat di selatan wilayah itu termasuk Rafah.
Tetapi Rafah berulang kali dibom dari udara dan rakyat Palestin kerap mengatakan bahawa tiada kawasan Gaza yang selamat.
“IDF meluaskan kawasan kemanusiaan di Al-Mawasi untuk menampung peningkatan tahap bantuan yang mengalir ke Gaza.
“Pagi ini, kami memulakan operasi skop terhad untuk memindahkan sementara penduduk di bahagian timur Rafah.
“Ini adalah operasi skop terhad,” kata jurucakap tentera kepada wartawan dalam taklimat dalam talian.
Dalam kenyataannya, tentera menambah bahawa mesej untuk berpindah sementara ke kawasan kemanusiaan akan disampaikan melalui poster, mesej sistem pesanan ringkas (SMS), panggilan telefon dan siaran media dalam bahasa Arab.
Tentera akan terus mengejar kumpulan Hamas di mana-mana di Gaza sehingga semua tebusan yang mereka tangkap dalam tawanan, pulang”, kata kenyataan itu. -AFP










