Israel buka lintasan utara Gaza sempena lawatan Blinken

Israel buka lintasan utara Gaza sempena lawatan Blinken

TENTERA Israel memeriksa bantuan kemanusiaan, di tengah-tengah konflik berterusan di Gaza antara Israel dan kumpulan Islam Palestin Hamas, berhampiran titik Erez Crossing di utara Gaza, semalam. -REUTERS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

EREZ: Israel membuka semula satu-satunya lintasan di pinggir utara Gaza hari ini yang membenarkan trak bantuan melalui pusat pemeriksaan Erez.

Tindakan itu dibuat berikutan tuntutan Amerika Syarikat (AS) untuk menangani krisis kemanusiaan yang semakin meningkat di Gaza.

Membuka semula lintasan Erez adalah menjadi salah satu rayuan utama agensi bantuan antarabangsa selama berbulan-bulan lamanya bagi mengurangkan kelaparan yang dipercayai paling teruk dalam kalangan ratusan ribu orang awam di sektor utara kawasan itu.

Kerajaan Israel membuka titik persimpangan itu pada hari lawatan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken yang bertemu dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan menyeru lebih banyak penghantaran bantuan kemanusiaan ke wilayah itu.

Lintasan Erez yang digunakan terutamanya untuk lalu lintas pejalan kaki, masih ditutup sejak ia musnah semasa serangan Hamas pada 7 Oktober lalu yang mencetuskan perang.

Komuniti di pinggir utara Gaza adalah yang pertama diserang oleh tentera Israel pada permulaan perang tahun lalu dan sebahagian besar kemudahan dan infrastruktur musnah.

Agensi bantuan berkata, mereka menghadapi kesukaran untuk sampai ke kawasan itu dengan makanan dan ubat-ubatan yang diangkut dari bahagian lain Gaza merentasi zon perang.

Israel mengumumkan akan membuka semula Erez bulan lalu, beberapa hari selepas tenteranya membunuh sekumpulan pekerja kemanusiaan yang menghantar bantuan makanan di Gaza dalam serangan udara yang membawa kecaman antarabangsa. 

Israel bagaimanapun memohon maaf atas serangan udara tersebut.

Washington, sekutu terdekatnya, berkata, sokongan lanjut untuk perang itu akan bergantung kepada peningkatan akses bantuan. -CNA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN