RAFAH: Israel berikrar memperhebatkan serangan daratnya di Rafah, bertentangan dengan amaran global mengenai nasib ratusan ribu orang awam Palestin yang berlindung di bandar jauh di selatan Gaza itu.
Menteri Pertahanan, Yoav Gallant berkata pasukan tambahan akan memasuki kawasan Rafah dan aktiviti ini akan meningkat.
“Beratus-ratus kawasan disasarkan dan pasukan kami bergerak di kawasan itu,” kata Gallant selepas membuat lawatan tenteranya.
Sekutu utama Israel, Amerika Syarikat menyertai kuasa besar lain merayu agar Israel menahan diri daripada serangan darat penuh terhadap Hamas di Rafah, bandar terakhir di Gaza setakat ini yang terhindar daripada pertempuran hebat di bandar.
Tetapi Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menegaskan bahawa serangan darat ke atas Rafah adalah bahagian kritikal dalam misi tentera untuk memusnahkan Hamas dan menghalang sebarang pengulangan serangan 7 Oktober lalu yang mencetuskan perang.
“Pertempuran di Rafah adalah kritikal. Ia bukan sahaja batalion Hamas yang tinggal, tetapi ia juga seperti talian oksigen untuk mereka melarikan diri,” katanya.
Ramai daripada mereka yang melarikan diri dari Rafah menuju ke kawasan pantai Al-Mawasi yang iisytiharkan Israel sebagai zon kemanusiaan.
Imej satelit juga menunjukkan bandar khemah baharu yang luas yang muncul berhampiran bandar utama selatan Khan Younis. -CNA











