DUBAI: Harapan semakin pudar bahawa Presiden Iran, Ebrahim Raisi dan Menteri Luarnya, Hossein Amirabdollahian terselamat daripada nahas helikopter di kawasan pergunungan dan cuaca berais.
Demikian menurut seorang pegawai Iran selepas pasukan pencari mengesan serpihan helikopter itu.
“Helikopter Presiden Raisi terbakar sepenuhnya dalam nahas itu… malangnya, semua penumpang dikhuatiri maut,” kata pegawai itu kepada Reuters.
Dalam pada itu, pasukan penyelamat dilaporkan bertempur dengan ribut salji sepanjang malam untuk sampai ke serpihan di wilayah Azerbaijan Timur pada awal pagi tadi.
Ketua Persatuan Bulan Sabit Merah Iran, Pirhossein Kolivand berkata, pihaknya dapat melihat bangkai helikopter berada dalam tidak baik.
“Kami dapat melihat bangkai pesawat dan keadaan tidak kelihatan baik.
“Dengan penemuan lokasi nahas, tiada tanda-tanda kehidupan dikesan dalam kalangan penumpang helikopter itu,” ujarnya.
Media kerajaan Iran berkata, imej dari laman web itu menunjukkan helikopter itu terhempas ke puncak gunung, walaupun belum ada maklumat rasmi lagi mengenai punca nahas itu.
Raisi,, 63, dipilih sebagai Presiden Iran pada 2021 dan sejak memegang jawatan tu, beliau mengarahkan undang-undang moral diperketatkan, menyelia tindakan keras berdarah terhadap protes antikerajaan dan mendesak keras dalam rundingan nuklear dengan kuasa dunia.
Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei yang memegang kuasa muktamad dengan kata putus mengenai dasar luar dan program nuklear Iran sebelum ini berusaha untuk meyakinkan rakyat Iran, berkata tidak akan ada gangguan kepada hal ehwal negara.
Dron Turki mengenal pasti punca haba yang disyaki serpihan helikopter itu awal hari Isnin dan berkongsi koordinat lokasi kemungkinan nahas dengan pihak berkuasa Iran, kata agensi berita Anadolu di X.
Agensi berita negara IRNA berkata, Raisi terbang menggunakan helikopter Bell 212 buatan Amerika Syarikat.
Ketua kakitangan tentera Iran mengarahkan semua sumber tentera dan Pengawal Revolusi elit digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat. -REUTERS










