GAZA: Hamas dilaporkan memerangi tentera Israel di pinggir bandar Rafah, selatan Gaza yang sesak.
Hamas berkata, pejuangnya sedang bertempur dengan tentera Israel di timur dan pejuang Jihad Islam menyerang tentera Israel dan kenderaan tentera dengan artileri berat berhampiran lapangan terbang.
“Jalan-jalan di bandar itu bergema dengan jeritan nyawa yang tidak berdosa yang terkorban, keluarga yang terpisah dan rumah menjadi runtuhan.
“Kami berada di ambang malapetaka kemanusiaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” kata Datuk Bandar Rafah, Ahmed Al-Sofi.
Ahmed dalam satu kenyataan merayu kepada masyarakat antarabangsa untuk campur tangan.
Seorang pegawai kanan Amerika Syarikat (AS) berkata dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan, Amerika Syarikat sudah menyemak dengan teliti penghantaran senjata yang mungkin digunakan di Rafah.
Akibatnya, negara kuasa dunia itu menghentikan penghantaran yang terdiri daripada 1,800 bom 2,000 paun dan 1,700 bom 500 paun.
Langkah itu bagi menghalang orang awam korban.
AS yang berhasrat untuk menghalang pencerobohan penuh Israel ke atas Rafah berkata, ia percaya cadangan gencatan senjata Hamas yang disemak semula mungkin membawa kepada kejayaan.
Rundingan disambung semula di Kaherah kelmarin.
Kelmarin, kereta kebal Israel melintasi sempadan Rafah antara Gaza dan Mesir, memotong laluan bantuan penting dan satu-satunya pintu keluar untuk pemindahan pesakit yang cedera.
Seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, tiada bahan api atau bantuan memasuki Gaza kerana operasi ketenteraan.
Hal ini menyebabkan satu situasi yang memudaratkan terhadap tindak balas kemanusiaan di Gaza di mana lebih separuh penduduk mengalami kelaparan yang teruk.
Israel mengancam serangan besar ke atas Rafah untuk mengalahkan ribuan pejuang Hamas yang dikatakan bersembunyi di sana.
Tetapi bandar itu juga merupakan tempat perlindungan bagi ratusan ribu rakyat Palestin yang melarikan diri dari pertempuran lebih jauh ke utara di kawasan terkepung itu.
Mereka bersesak-sesak ke dalam khemah dan tempat perlindungan sementara, mengalami kekurangan makanan, air dan ubat-ubatan.
Hospital bersalin utama Rafah di mana hampir separuh daripada kelahiran Gaza berlaku, berhenti menerima pesakit, kata Dana Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kepada Reuters. -REUTERS










