FAMA mahu lahir 100 usahawan pemasar

FAMA mahu lahir 100 usahawan pemasar

ABD. Rahman Mahmood (dua dari kanan) menyampaikan bantuan geran perniagaan FAMA kepada usahawan terpilih pada majlis rumah terbuka Aidilfitri FAMA Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA.KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FAMA mahu lahir 100 usahawan pemasar

KUALA TERENGGANU: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mahu melahirkan seramai 100 usahawan pemasar  menerusi program Rakan Pemasar Kontrak Pemasaran (RPKP) menjelang akhir tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi FAMA, Abd. Rahman Mahmood berkata, ketika ini seramai 48 usahawan pemasar telah berjaya dilahirkan di seluruh negara sejak program itu diperkenal dua tahun lalu.

Menurutnya, bagi memastikan hasrat itu tercapai, FAMA giat menjalinkan kerjasama  dengan usahawan dan 2,700 peserta ladang kontrak di seluruh negara.

“Kesemua usahawan pemasar itu mendapat bekalan daripada 480 orang pengeluar pelbagai jenis tanaman di seluruh negara.

“Inisiatif yang dilaksanakan FAMA ini adalah bagi meningkatkan jaringan pengedaran dan daya saing yang sihat dalam pasaran sekaligus membantu usahawan menambah pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di majlis rumah terbuka Aidilfitri FAMA Terengganu di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, RPKP FAMA dilaksanakan bagi memastikan hasil pengeluaran peserta ladang kontrak dapat dipasarkan mengikut spesifikasi jenis atau gred secara berjadual dan berterusan.

“Program itu bertujuan meningkatkan bekalan sayur-sayuran dan buah-buahan tempatan ke pasaran dan memastikan pengeluaran hasil ladang terus kepada pengguna,” ujarnya.

Pada majlis itu, FAMA turut menyerahkan bantuan geran perniagaan bernilai RM298,000 kepada 26 usahawan di Terengganu.

Daripada jumlah itu, dua usahawan Agrobazaar menerima geran keseluruhan RM80,000 manakala empat lagi usahawan menerima bantuan geran K-Shoppe sebanyak RM20,000 setiap orang.

Bantuan lain yang diberi ialah geran program khidmat industri berkepakaran, geran agropreneur muda dan geran rakan pemasar kontrak pemasaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN