MARANG: Orang ramai melahirkan kebimbangan mereka dengan kehadiran seekor buaya yang muncul di benteng pemecah ombak berhampiran Pantai Pulau Kekabu , di sini, pagi tadi.
Ia susulan tularnya sebuah video di Facebook yang dirakam pada pukul 8.59 pagi tadi oleh seorang individu yang memaparkan kemunculan ‘sang bedal’ itu.
Video berdurasi 28 saat itu mula dimuat naik oleh pengguna Facebook dengan nama Saiful Rizam Ghani, 31 setelah ternampak buaya tersebut ketika berada di Pantai Kekabu.
Saiful Rizam berkata, dia sedang berjoging di kawasan benteng pemecah ombak tersebut seorang diri dan kemudian berehat sebentar untuk merakam video keindahan di pantai tersebut.
“Tiba-tiba saya ternampak kelibat seekor buaya berada dalam air dan terus merakam video pergerakannya.
“Memang berdebar-debar ketika itu kerana ini adalah kali pertama melihat buaya air masin di depan mata.
“Buaya tersebut hanya mengikut arus dan menghala ke arah Pantai Seberang Marang. Mungkin ia tersesat dari habitat asalnya tapi saiznya memang sangat besar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Saiful Rizam yang tinggal di Kedai Buloh berkata, dia memang suka beriadah di tepi pantai terutama berjoging pada waktu pagi namun tidak menyangka akan ternampak buaya air masin yang memang ditakuti orang ramai.
“Harapan saya agar orang ramai berhati-hati jika melakukan sebarang aktiviti di tepi pantai untuk elak sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.
Kebanyakan pengguna Facebook pula membuat andaian ia adalah buaya air masin yang sama pernah dilihat di Pantai Seberang Takir dan berhampiran Jambatan Angkat Kuala Terengganu sebelum ini. – UTUSAN










