Bela nasib penduduk Kampung Sri Makmur

Bela nasib penduduk Kampung Sri Makmur

PENDUDUK, Rosiah Ismail (kanan) bersama keluarganya yang berteduh di bawah khemah sebagai tempat tinggal susulan kerja perobohan yang dilakukan di Kampung Sri Makmur, Taman Sri Gombak, kelmarin. – UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOMBAK: Kerajaan negeri Selangor digesa membela nasib penduduk Kampung Sri Makmur yang tidak menerima sebarang insentif pemindahan se­telah kediaman mereka diro­bohkan Isnin lalu.

Ahli Dewan Undangan Nege­ri Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham berkata, hanya 21 daripada 153 keluarga di kampung setinggan itu mendapat pampasan berjumlah RM1,000 dan tawaran untuk berpindah ke rumah SelangorKu.

Tegasnya, pihak kerajaan per­lu segera mempertimbangkan nasib 132 keluarga yang belum menerima bantuan mahupun tempat tinggal dengan adil dan bertanggungjawab.

“Sehingga kini tidak ada satu kenyataan mahupun sebarang tindakan daripada kerajaan ne­geri untuk menjamin kebajikan ataupun memelihara keharmonian dalam kalangan penduduk di sini.

“Saya ingin menyatakan bahawa saya teguh bersolidariti bersama kesemua 153 keluarga yang terlibat secara keseluruhan.

“Saya yakin selaku warganegara yang bertanggungjawab, kita tidak bersikap antipemba­ngunan. Tetapi, pembangunan yang ingin dilaksanakan mestilah bertanggungjawab dan ber­kualiti,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

Terdahulu, media melaporkan, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari diminta campur tangan bagi menghalang pengusiran dan pengosongan kawasan setinggan di Kampung Sri Makmur yang telah mendapat arahan perintah daripada mahkamah.

Dalam pada itu, Hilman turut mengecam sekeras-kerasnya tindakan penguatkuasaan yang kasar dan ganas ketika operasi perobohan dijalankan.

Menurutnya, tindakan ganas yang berlaku telah tular di media sosial namun malangnya tidak ada sebarang tindak balas daripada kerajaan negeri di mana ia mencerminkan sifat tidak berperikemanusiaan.

“Saya ingin menuntut penjelasan segera daripada pihak polis dan kerajaan negeri berhubung isu keganasan yang berlaku termasuk keberadaan sekumpulan pemuda bertopeng, bertopi serta mengenakan vest berwarna hijau ketika tindakan penguatkuasaan dilaksanakan.

“Saya yakin mereka bukan anggota polis atau penguatkuasa Daerah mahupun Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Yang menjadi persoalannya adalah tujuan dan peranan mereka,” jelasnya.

Tambah beliau, kewujudan pihak yang tidak dikenali itu telah menimbulkan provokasi, pergelutan, pergaduhan sehingga mendatangkan kecederaan di kalangan penduduk. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN