AS tidak percaya genosid berlaku di Gaza

AS tidak percaya genosid berlaku di Gaza

WARIS berkumpul berhampiran mayat yang disusun untuk proses pengecaman selepas mayat digali dari kubur besar yang ditemukan di Kompleks Perubatan Nasser, selatan Gaza pada 25 April lalu. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) tidak percaya bahawa pembunuhan beramai-ramai berlaku di Gaza tetapi berpendapat Israel perlu berbuat lebih banyak usaha untuk melindungi orang awam Palestin.

Penasihat Keselamatan Negaranya, Jake Sullivan berkata, ketika rundingan gencatan senjata terhenti dan Israel terus menyerang bandar Rafah di selatan, tanggungjawab untuk keamanan didapati terletak kepada kumpulan Hamas.

ISRAEL BOLEH LINDUNGI ORANG AWAM

“Kami percaya Israel boleh dan mesti melakukan lebih banyak lagi untuk memastikan perlindungan dan kesejahte­raan orang awam yang tidak bersalah.

“Kami tidak percaya apa yang berlaku di Gaza adalah pembunuhan beramai-ramai,” kata Sullivan pada satu taklimat.

Tambah Sullivan, AS menggunakan istilah yang diterima di peringkat antarabangsa iaitu pembunuhan beramai-ramai yang merangkumi tumpuan pada niat untuk mencapai penilaian tertentu.

Katanya, Presiden AS, Joe Biden juga mahu melihat Hamas dikalahkan tetapi menyedari bahawa orang awam Palestin berada dalam ‘neraka’.

Sullivan berkata, beliau akan datang ke podium White House untuk menyatakan pendirian pentadbiran Biden mengenai konflik itu.

TINDAKAN HENTI SENJATA DIKECAM

Baru-baru ini, Biden mendapat kecaman daripada ahli Republikan kerana menghentikan beberapa penghantaran senjata untuk mendesak tuntutannya supaya Israel menangguhkan sementara serangan di Rafah selain terdapat bantahan di universiti AS terhadap sokongannya kepada Israel.

Dalam perkembangan lain, di Ankara, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan membe­ritahu bahawa lebih 1,000 anggota kumpulan Hamas sedang dirawat di hospital Turkiye di tengah-tengah perang yang berterusan di Gaza.

HAMAS ORGANISASI PENENTANGAN

Erdogan, seorang pengkritik lantang terhadap perang Israel di wilayah Palestin berikutan serangan Hamas pada 7 Oktober lalu membuat pengumuman itu kepada pemberita, sambil menambah bahawa dia menganggap Hamas adalah sebuah organisasi penentangan.

“Begitu ramai ahli Hamas terbunuh. Seluruh Barat me­nyerang mereka dengan pelbagai jenis senjata dan amunisi,” katanya.

“Memanggil Hamas sebuah organisasi pengganas adalah kejam,” katanya sambil menambah Greece dan Turkiye tidak bersetuju dengan kenyataan sedemikian.

Hamas diklasifikasikan sebagai organisasi pengganas oleh Israel, AS dan Kesatuan Eropah.

Serangan pada 7 Oktober lalu ke atas Israel mengakibatkan kematian lebih 1,170 orang, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka rasmi Israel.

Hamas juga merampas kira-kira 250 tebusan, beberapa daripadanya dibebaskan semasa gencatan senjata selama se­minggu pada November lalu.

Pengeboman dan serangan Israel di Gaza membunuh lebih 35,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, me­nurut kementerian kesihatan di wilayah kendalian Hamas. –AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN