WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menghentikan penghantaran bom dan senjata ke Israel supaya memberi tekanan kepada sekutunya untuk mengelak pencerobohan berskala penuh ke atas Rafah.
Seorang pegawai AS memberitahu, langkah itu juga memberi lebih banyak masa kepada Israel dan Hamas melanjutkan rundingan gencatan senjata.
Hamas berkata, pejuangnya kini memerangi tentera Israel di timur bandar itu di mana ratusan ribu rakyat Palestin mencari perlindungan daripada pertempuran.
Malah, penduduk berkata, pertempuran dan serangan didapati berterusan berlaku di pinggir bandar berkenaan.
ISRAEL ANCAM SERANG HAMAS
Israel mengancam serangan besar ke atas Rafah untuk menewaskan beribu-ribu pejuang Hamas yang dikatakan bersembunyi di sana, tetapi negara-negara Barat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa serangan besar-besaran ke atas Rafah akan menjadi malapetaka kemanusiaan.
Seorang pegawai kanan AS berkata, pentadbiran Presiden AS, Joe Biden menghentikan penghantaran senjata ke Israel minggu lalu sebagai tindak balas yang jelas terhadap serangan Rafah yang dijangkakan.
Bagaimanapun White House dan Pentagon enggan mengulas lanjut.
PENANGGUHAN SENJATA PERTAMA
Langkah berani AS ini akan menjadi penangguhan penghantaran senjata pertama sejak pentadbiran Biden menawarkan sokongan penuh kepada Israel selepas serangan Hamas pada 7 Oktober lalu.
AS ialah sekutu terdekat Israel dan pembekal senjata utama.
Seorang pegawai kanan Israel yang enggan namanya disiarkan berkata, jika mereka terpaksa bertarung dengan kuku sekalipun, maka mereka akan melakukannya.
Jurucakap tentera Israel berkata, penyelarasan antara sekutu tidak dapat ditandingi dan sebarang perselisihan faham diselesaikan secara tertutup.
ISRAEL KAWAL SEMPADAN GAZA-MESIR
Kelmarin, tentera Israel mengawal sempadan utama antara Gaza dan Mesir di Rafah, sekali gus memotong laluan penting untuk bantuan kemanusiaan.
Penduduk berkata, kereta kebal bergerak masuk untuk mengawal lintasan itu, tidak memasuki kawasan bandar dan pertempuran senjata api masih di luar had bandar.
Kumpulan bersenjata Hamas, Jihad Islam dan Fatah dalam kenyataan berasingan berkata, pertempuran senjata berterusan berlaku di tengah Gaza manakala penduduk di utara Gaza melaporkan, serangan kereta kebal Israel adalah di kawasan timur Bandar Gaza.
Walaupun serangan terbaharu Israel di Rafah dan pertempuran di tempat lain di Gaza, AS berkata, pihaknya percaya cadangan gencatan senjata Hamas yang disemak semula mungkin membawa kepada pemecahan dalam kebuntuan gencatan senjata dengan rundingan disambung semula di Kaherah.
Di Kaherah, kesemua lima delegasi yang mengambil bahagian dalam rundingan gencatan senjata ialah Hamas, Israel, AS, Mesir dan Qatar yang memberi reaksi positif terhadap penyambungan semula rundingan dan mesyuarat dijangka diteruskan pada pagi Rabu, kata dua sumber Mesir.–AFP










