Akta AI digubal Kesatuan Eropah jadi penanda aras di dunia

Akta AI digubal Kesatuan Eropah jadi penanda aras di dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRUSSELS: Negara-negara Kesatuan Eropah (EU) menyokong perjanjian politik yang dicapai Disember tahun lalu, bagi menetapkan undang-undang penting mengenai penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pelbagai industri. 

Undang-undang mengenai AI di Eropah itu akan mula berkuat kuasa pada bulan hadapan yang akan menetapkan piawaian global yang berpotensi bagi teknologi yang digunakan dalam perniagaan dan kehidupan seharian.

Akta itu adalah lebih komprehensif berbanding pendekatan pematuhan sukarela yang lebih ringan di Amerika Syarikat, manakala pendekatan China bertujuan untuk mengekalkan kestabilan sosial dan kawalan negara.

Sesi undian oleh negara-negara EU dijalankan dua bulan selepas ahli perundangan EU menyokong undang-undang AI yang dirangka oleh Suruhanjaya Eropah pada tahun 2021 setelah membuat beberapa perubahan penting.

Menteri Digital Belgium, Mathieu Michel berkata, kebimbangan mengenai AI timbul akibat maklumat dan berita palsu serta hak bahan cipta yang meningkat di seluruh dunia sejak beberapa bulan lalu. 

“Undang-undang penting dan pertama di dunia ini adalah bagi menangani cabaran teknologi global serta mencipta peluang bagi masyarakat dan ekonomi kita.  

“Dengan Akta AI, Eropah menekankan kepentingan tentang kepercayaan, ketelusan, dan akauntabiliti dalam menangani teknologi baharu dan pada masa sama memastikan teknologi yang berkembang pesat ini dapat meningkatkan inovasi di Eropah,” katanya lapor Reuters. 

Undang-undang baharu itu akan memberi impak di luar blok 27 negara, kata Patrick van Eecke di firma guaman Cooley.

Akta AI di EU bertujuan menggalakkan penyerapan AI yang berpaksikan manusia dan boleh dipercayai serta memastikan tahap perlindungan kesihatan, keselamatan, hak asasi, demokrasi, kedaulatan undang-undang serta alam sekitar daripada menerima kesan berbahaya.

Setelah RUU diluluskan, akta itu akan diguna pakai terhadap sesiapa sahaja yang membangunkan dan menggunakan sistem AI di EU termasuk syarikat-syarikat di luar blok tersebut.

Tahap peraturan bergantung kepada risiko yang dicipta oleh aplikasi tertentu, daripada minimum kepada tahap yang tidak boleh diterima.

Akta berkenaan juga selain itu menggariskan keperluan mengenai ketelusan untuk sistem AI.

Contohnya, sistem seperti ChatGPT perlu mendedahkan kandungan mereka dijana oleh AI, membezakan imej palsu (deep fake) daripada yang sebenar dan menyediakan perlindungan terhadap penjanaan kandungan haram.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya