PETALING JAYA: Liga Malaysia (Liga M) hanya mampu diselamatkan sekiranya kelab-kelab bola sepak di negara ini ditadbir sepenuhnya oleh individu profesional dan bukan lagi dijadikan platform sampingan oleh mana-mana pihak yang mempunyai komitmen lain.
Pemerhati bola sepak tempatan, Prof. Madya Dr. Zulakbal Abd Karim berkata, perubahan hanya berlaku sekiranya pengurusan kelab dan persatuan bola sepak dipimpin oleh individu sepenuh masa yang menjadikan bola sepak sebagai kerjaya utama, bukan kerja sambilan.
“Bukan lagi masa untuk ‘part-timer’. Yang menguruskan kelab perlu 100 peratus fokus kepada bola sepak. CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) dan pengurusan mesti profesional sepenuh masa.
“Barulah kita boleh lihat Liga Malaysia bergerak ke arah lebih stabil dan berdaya saing,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Zulakbal berpandangan bahawa kepentingan integriti dan tadbir urus profesional dalam kalangan pengurusan kelab perlu diutamakan bagi mengelakkan amalan kronisme serta pengambilan pekerja tidak berasaskan merit.
“Kelab bola sepak perlu diurus seperti sebuah syarikat profesional seperti Petronas. Ia memerlukan disiplin, struktur dan integriti yang tinggi,” ujarnya.
Mengulas perbandingan dengan liga lain di Asia, beliau tidak menafikan Liga M masih bergelut dengan isu lama yang berulang sejak era 1990-an, termasuk rasuah dan ketidaktentuan pentadbiran.
Dalam pada itu, beliau juga menegaskan kelab-kelab di Malaysia perlu terlebih dahulu menguasai aspek menjana pendapatan secara mampan sebelum bercakap soal prestasi di atas padang.
“Masalah utama kebanyakan kelab, kecuali beberapa pasukan tertentu, ialah mereka pandai berbelanja tetapi tidak tahu menjana pendapatan. Akhirnya berlaku ketidakseimbangan kewangan,” katanya.
“Kalau ada dana dua juta, jangan berbelanja seperti ada enam juta. Bila gagal mengurus, akhirnya hutang bertimbun dan isu gaji tidak dibayar berlaku berulang,” katanya.
Sebelum ini, Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia(AFC), Datuk Seri Windsor John Paul berkata, situasi kewangan Liga M kini berada dalam keadaan kritikal berbanding liga lain di rantau Asia Tenggara.-UTUSAN










