KUALA LUMPUR: Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin terlibat dalam kemalangan ketika perjalanan pulang selepas selesai membuat persembahan petang tadi.
Berita itu dikongsikan pengurusnya, Rozi Abdul Razak menerusi Instastorynya baru-baru ini.
“Salam semua. Ramai yang menghubungi kami bertanyakan tentang Siti Nurhaliza.
“Kami yang menaiki dua kereta baru selesai mengadakan persembahan di RedQ AirAsia Sepang dan sewaktu melalui lebuhraya MEX (KM14.2), berlaku kemalangan.
“Empat kereta terlibat (kemalangan) termasuk yang dinaiki Siti dan kereta dinaiki saya serta Siti Fairuz berada pada jarak beberapa kereta di belakang.
“Kami membawa Siti keluar dari kereta yang kemalangan dan masuk ke dalam kereta kami,” maklumnya.
Rozi dalam pada itu memaklumkan penyanyi tersohor negara itu selamat dan telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
“Siti Telah ke hospital, mengalami lebam atau bengkak bahagian kaki. Alhamdulillah, segalanya selamat dan terima kasih di atas doa semua,” ujarnya. – UTUSAN










