KUALA TERENGGANU: Pas kekal dengan pendirian bahawa pelantikan Ketua Pembangkang baharu memerlukan penelitian dan tidak perlu dibuat tergesa-gesa, walaupun ada suara dalam Perikatan Nasional (PN) mahu ia dilakukan segera.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pelantikan tidak boleh dibuat melulu kerana ia bukan sahaja melibatkan Pas tetapi semua parti komponen serta ahli Parlimen dalam blok pembangkang.
“Pemilihan Ketua Pembangkang ini perlu mengambil kira pandangan semua pihak. Bukan sahaja dalam kalangan Pas tetapi juga parti-parti komponen dan ahli Parlimen pembangkang lain.
“Sebab itu kita perlu mengambil sedikit masa sebelum membuat keputusan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Jamuan Raya Pas Terengganu di Dataran Shahbandar di sini, semalam.
Sebelum ini, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyidin Yasin menggesa supaya pelantikan Ketua Pembangkang dibuat segera bagi mengelak persepsi negatif terhadap PN.
Mengulas tempoh diperlukan untuk membuat pelantikan, Abdul Hadi berkata, ia dijangka dimuktamadkan sebelum Sidang Dewan Rakyat akan datang yang dijadualkan berlangsung Jun ini.
“Masih ada masa kerana Parlimen hanya akan bersidang pada Jun ini,” katanya.
Berhubung spekulasi kemungkinan beberapa pemimpin termasuk Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menyertai Pas, Abdul Hadi berkata, perkara itu bergantung kepada hasrat individu dan tidak boleh dipaksa. – UTUSAN










