Dunia berperang, kita terpaksa bertahan

Dunia berperang, kita terpaksa bertahan

KENDERAAN tentera Israel melalui runtuhan bangunan di selatan Lubnan kelmarin. Lubnan turut terpalit dengan perang Asia Barat apabila Hezbollah melancarkan roket ke arah Israel susulan kematian Ayatollah Ali Khamenei. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Pemimpin cerdik akan mengelakkan perang yang tiada keperluan mendesak kerana bila api perang mulai merebak, sambarannya sukar dikawal atau dipadamkan.”

Kita di ambang perang dunia ketiga berikutan ketegangan di Selat Hormuz ekoran kegilaan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang tidak kunjung padam. Trump galak mengkobarkan api perang kerana yang berpeluh getir, berdarah luka atau hilang nyawa berada di medan perang bukan dirinya sendiri atau anaknya.

Manusia yang bijak sebolehnya mengelak daripada tercetusnya perang. Lihat sahaja sikap Ratu Saba’ yang memilih langkah diplomasi dengan Nabi Sulaiman AS, walaupun pemimpin serta penasihat beliau angkuh mahu mengangkat senjata. Allah menceritakan kebijaksanaan beliau dalam al-Quran

Ertinya: Mereka (pembesar kaum Saba’) menjawab kepada Ratu mereka: Kita ialah orang yang kuat gagah dan amat berani merempuh peperangan; dan perkara itu (walau bagaimanapun) terserahlah kepadamu; oleh itu fikirkanlah apa yang engkau hendak perintahkan.

Ratu perempuan (Saba’) itu berkata: “Sesungguhnya raja-raja, apabila masuk ke sebuah negeri, mereka merosakkannya, dan mereka menjadikan penduduknya yang mulia hina-dina; dan sedemikian itulah mereka akan lakukan. “Dan aku hendak menghantarkan hadiah kepada mereka, kemudian aku akan menunggu, apakah balasan yang akan dibawa balik oleh para utusan kita” (al-Naml 27:33-35).

Rasulullah SAW turut mendidik umatnya dengan pendirian yang sama. Pada suatu ketika, baginda bersiap untuk menghadapi musuh. baginda kemudiannya berucap:

Ertinya: “Wahai sekelian manusia! Jangan sesekali berharap agar bertembung dengan musuh (jangan gila berperang), sebaliknya pohonlah kepada Allah akan kesejahteraan. Apabila kamu (terpaksa) bertemu dengan musuh maka sabarlah dan ketahuilah syurga itu berada di bawah naungan pedang.” (Sahih al-Bukhari, 3024).

Setelah rundingan damai di Pakistan gagal mencapai kata putus, konflik global yang lebih serius di Asia barat belum menampakkan reda. Oleh itu, kita perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal berlaku. Firman Allah:

Ertinya: Wahai orang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan hendaklah setiap diri melihat dan memerhatikan apa yang dia telah sediakan (dari amalannya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan (al-Hasyr 59:18).

Perkataan “hari esok” dalam ayat ini merujuk kepada persediaan untuk menghadapi hari akhirat (Tafsir Ibn Kathir). Pun begitu, perancangan hidup di dunia yang bakal kita tempohi dalam konflik global ini termasuk dalam saranan Allah melalui ayat tersebut.

Lebih-lebih lagi, bencana ini bukan sahaja menjejaskan kepentingan duniawi umat Islam, bahkan mampu memudaratkan aspek hidup beragama seperti ibadat haji dan sebagainya.

Umat Islam, tidak seharusnya pasif dan pasrah menunggu siapa yang akhirnya akan memegang piala kemenangan perang ini tanpa berusaha secara praktikal menghadapinya dengan lebih mapan dan lestari. Saya tertarik dengan sebuah hadis yang menunjukkan betapa progresifnya pemikiran Nabi SAW:

Ertinya: Jika kiamat sudah berlaku, sedangkan pada tangan kalian ada benih, kalau kalian mampu janganlah bangun sehingga ia ditanam terlebih dahulu (Musnad Ahmad, 12981).

Logiknya, kiamat akan menutup segala usaha di dunia. Pun begitu, usaha tetap perlu dilakukan. Semangat ini perlu dimiliki umat islam.

Tambahan pula perang di Asia Barat ini masih boleh dihentikan jika pengganas dunia seperti Trump dan Benjamin Netanyahu boleh dikekang kegilaannya. Penulis melihat tiga pihak perlu memainkan peranan mereka dalam menghadapi konflik ini; iaitu pemimpin, masyarakat dan individu.

Pimpinan negara perlu meneruskan usaha diplomasi pada peringkat antarabangsa agar konflik ini boleh dihentikan segera. Bagi konteks dalam negara, pihak kerajaan perlu menyediakan lebih banyak insentif praktikal untuk membantu rakyat yang terjejas teruk dengan krisis tenaga global ini.

Masyarakat Malaysia pula perlu menyokong langkah kerajaan tanpa mengira bendera politik yang mereka kibar dan kobarkan. Simpan seketika fail politik dalam bekas menyimpan beras di rumah masing-masing kerana kesan konflik ini akan menjejaskan suapan nasi ke mulut semua. Praktik sikap cakna sesama kita agar yang berat menjadi ringan setelah kita junjung dan jinjing bersama.

Saya tertarik dengan kisah kabilah al-Asy’ari dari Yaman pada zaman Nabi yang mendapat pujian khusus Baginda SAW:

Ertinya: Golongan al-’Asyari (dari Yaman ialah pihak yang terpuji kerana) apabila makanan mereka habis dalam sesebuah peperangan atau makanan untuk anak-anak mereka semakin berkurang, mereka akan saling mengumpulkan apa yang mereka miliki dalam sehelai kain kemudian membahagikannya sesama mereka secara sama rata. Mereka ini sebahagian daripadaku dan Aku juga sebahagian daripada mereka (Sahih al-Bukhari, 2486 & Sahih Muslim, 2500).

Bagi menggerakkan usaha membantu berbagai kelompok masyarakat yang mungkin terjejas, anggota masyarakat boleh menggunakan berbagai platform yang sedia ada seperti Masjid, Surau, Rukun tetangga dan sebagainya. Dengan cara ini, kesatuan masyarakat yang menjadi entiti berantai dalam sebuah negara akan bertambah kukuh.

Pada tahap individu pula, langkah berjimat cermat dan hidup berhemah perlu segera dipraktikkan. Atur perbelanjaan serta gaya hidup secara bijaksana dengan meletakkan keutamaan yang betul antara keperluan asasi, kemudahan asasi dan aksesori kehidupan. Tiga perkara ini memang dianjurkan Islam melalui ilmu Maqasid Syariah.

Hentaman perang ini penulis lihat seperti hentaman pandemic Covid 19 dahulu. Berkat kerjasama semua, Malaysia boleh keluar daripada lubuk bahayanya dengan jaya. Kejayaan itu hasil kerjasama semua. Ayuh kita ulangi sejarah gemilang itu sekali lagi untuk keluar dari krisis global ini.

Penulis adalah Timbalan Pengarah Pembangunan Pelajar dan Libat Urus Komuniti Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN