PETALING JAYA: Tarikh Mesyuarat Khas bagi membincangkan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 akan dimaklumkan sebaik sahaja menerima pemakluman rasmi mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, perkara itu akan dilakukan selepas pihaknya menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Negeri Johor berhubung tarikh pembubaran Dewan Negeri berkenaan.
“SPR mengambil maklum sidang media yang diadakan Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi mengenai pembubaran Dewan Negeri Johor Ke-15 hari ini.
“Sehubungan dengan itu, SPR akan memaklumkan tarikh bagi mengadakan Mesyuarat Khas untuk membincangkan tarikh-tarikh penting bagi Pilihan Raya Umum Dewan Negeri Johor Ke-16 sebaik sahaja menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Negeri Johor berkaitan tarikh pembubaran Dewan Negeri Johor ini,” katanya dalam kenyataan hari ini. – UTUSAN










