PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan penuh tanggungjawab, matang dan profesional serta meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, seluruh kepimpinan, jentera dan ahli-ahli parti komponen PN akan memberikan fokus sepenuhnya terhadap persiapan menghadapi pilihan raya ini dengan semangat kebersamaan, disiplin serta kesatuan tindakan.
Katanya, PN mengambil maklum pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri.
“Pilihan raya bukan sekadar pertandingan politik, sebaliknya menjadi medan untuk menawarkan penyelesaian yang lebih baik kepada rakyat khususnya berkaitan isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi negeri, integriti pentadbiran dan masa depan negara.
“PN akan memasuki gelanggang pilihan raya ini dengan penuh tanggungjawab, matang dan profesional serta meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Samsuri turut berharap seluruh jentera PN dapat mengelakkan sebarang bentuk provokasi melampau, politik kebencian dan perpecahan.
Sebaliknya, beliau berkata, semua pihak perlu menampilkan politik yang lebih tenang, berfakta dan berorientasikan solusi.
“Insya-Allah, dengan kerjasama semua pihak serta sokongan rakyat, PN akan terus membawa agenda pentadbiran yang stabil, bersih dan prihatin demi masa depan Johor dan Malaysia yang lebih baik,” katanya. – UTUSAN










