Malaysia berhak tuntut pampasan daripada Norway - Mohamed Khaled

Malaysia berhak tuntut pampasan daripada Norway – Mohamed Khaled

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia mempunyai hak untuk menuntut pampasan sewajarnya daripada Norway dan syarikat yang terlibat susulan pembatalan lesen eksport sistem misil antikapal (NSM) memandangkan sejumlah besar wang rakyat telah diperuntukkan bagi program berkenaan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sekiranya Norway memaklumkan lebih awal mengenai pembatalan lesen eksport tersebut, dana yang telah diperuntukkan boleh dimanfaatkan untuk tujuan lain.

Katanya, Malaysia bukan sahaja menanggung kerugian kewangan, malah turut kehilangan masa dan peluang yang amat bernilai akibat keputusan berkenaan.

“Kementerian Pertahanan mengambil maklum pandangan yang dikemukakan dalam artikel New Straits Times bertajuk ‘Move on from missile deal and find replacement’ – Analysts yang diterbitkan pada 1 Jun 2026. Malaysia sedang bergerak ke hadapan.

“Malah, Malaysia sedang giat meneroka penyelesaian alternatif bagi memenuhi keperluan pertahanan negara. Namun, bergerak ke hadapan tidak bermaksud melupakan atau menerima sesuatu tanpa akauntabiliti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamed Khaled berkata, perlu difahami bahawa mencari pengganti kepada sistem misil antikapal bukanlah sesuatu yang mudah kerana sistem secanggih itu tidak boleh digantikan begitu sahaja dalam tempoh singkat.

Katanya, proses mengenal pasti alternatif yang sesuai, merundingkan kontrak baharu serta mengintegrasikan sistem pengganti ke dalam platform sedia ada memerlukan masa dan sumber yang besar, dengan implikasi yang melangkaui kerugian kewangan semata-mata.

“Lebih penting lagi, episod ini melangkaui pertikaian kontrak dua hala. Ia telah meletakkan pertahanan dan keselamatan negara dalam kedudukan yang terjejas.

“Mesej yang jelas perlu disampaikan kepada Norway dan komuniti pertahanan antarabangsa bahawa tindakan seperti ini tidak boleh dibiarkan berlalu tanpa pertanggungjawaban,” katanya.

Tambah beliau, sekiranya pelanggaran komitmen pertahanan tidak membawa sebarang kesan yang bermakna, perkara sama berisiko berulang pada masa hadapan.

“Norway mesti dipertanggungjawabkan dengan cara yang benar-benar memberi kesan sebagai pengajaran dan pencegahan, bukannya diberikan laluan mudah untuk berdamai tanpa sebarang pertanggungjawaban,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, tindakan mana-mana negara atau syarikat menarik diri daripada komitmen tanpa sebarang akauntabiliti boleh mewujudkan satu duluan berbahaya yang menjejaskan kerjasama pertahanan, ekonomi dan strategik pada masa hadapan.

Beliau berkata, perkara itu membimbangkan susulan kecenderungan yang semakin ketara apabila komitmen dan kontrak boleh diketepikan atas pertimbangan politik atau ideologi sehingga melemahkan kepercayaan terhadap perjanjian antarabangsa.

Katanya, negara kecil dan kuasa pertengahan bergantung kepada persekitaran antarabangsa yang stabil serta boleh diramal, di mana setiap komitmen dan obligasi dihormati.

“Jika negara atau syarikat boleh menarik diri daripada komitmen tanpa sebarang akauntabiliti, ia akan mewujudkan satu duluan yang berbahaya terhadap kerjasama pertahanan, ekonomi dan strategik pada masa hadapan.

“Oleh itu, pampasan bukan sekadar soal mendapatkan kembali wang yang telah dibelanjakan.

“Jika Norway benar-benar menghormati prinsip tata kelola antarabangsa berasaskan peraturan serta menghargai hubungan yang telah lama terjalin dengan Malaysia, maka Norway wajar menyokong proses pampasan yang adil dan munasabah, yang mengambil kira keseluruhan kesan akibat pembatalan ini,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, Malaysia sedang bergerak ke hadapan dalam perkara tersebut, namun Norway masih bertanggungjawab memberikan akauntabiliti dan ketelusan kepada Malaysia serta rakyatnya.

Katanya, tindakan Norway dalam episod tersebut adalah tidak wajar dan mencerminkan sikap angkuh yang tidak boleh dipandang ringan.

“Hubungan dua hala kini dicemari oleh ketidakpercayaan yang mendalam dan keadaan tidak boleh diteruskan seperti biasa.

“Langkah untuk bergerak ke hadapan tidak boleh mengorbankan prinsip-prinsip yang menjadi asas kepada tingkah laku antarabangsa yang bertanggungjawab,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN