Serangan terhadap Iran: Beberapa syarikat penerbangan tukar

Serangan terhadap Iran: Beberapa syarikat penerbangan tukar laluan, batal penerbangan

GAMBAR menunjukkan ruang udara Iran yang dilintasi pesawat sebelum ini. -AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHRAN: Beberapa syarikat penerbangan membuat keputusan menukar laluan penerbangan yang melintasi Iran, membatalkan beberapa penerbangan, melencongkan laluan ke lapangan terbang gantian hari ini berikutan kebimbangan keselamatan selepas serangan Israel ke atas Iran.

Menurut laman web pengesanan penerbangan FlightRadar24, Iran menutup lapangan terbangnya di Tehran, Shiraz dan Isfahan selepas serangan itu dan memastikan tiada penerbangan dilakukan dari bahagian barat ruang udaranya selama beberapa jam selepas serangan tersebut. 

Menjelang pukul 4.45 petang (waktu tempatan), lapangan terbang dan ruang udara dibuka semula dan notis penutupan yang disiarkan pada pangkalan data Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (AS) dialih keluar.

Sebelum lapangan terbang dibuka semula, Flydubai berkata, pihaknya membatalkan penerbangannya hari ini ke Iran. 

Satu daripada penerbangan awalnya berpatah balik ke Dubai.

Flightradar 24 menunjukkan, penerbangan Iran Air dari Rom ke Tehran dilencongkan ke Ankara, Turkiye. 

Lufthansa Jerman membatalkan semua penerbangan ke Tel Aviv dan Erbil sehingga esok dan berkata, ia akan terbang mengelilingi ruang udara Iraq dalam tempoh yang sama.

“Keselamatan penumpang dan anak kapal sentiasa menjadi keutamaan kami,” katanya.

Laman web pengesanan menunjukkan, Emirates, Flydubai, Turkish Air, Wizz Air Abu Dhabi dan Belavia adalah antara syarikat penerbangan yang terus terbang melintasi bahagian ruang udara Iran yang masih dibuka beberapa jam awal selepas serangan awal hari ini. 

“Kami memantau keadaan dengan teliti dan akan membuat perubahan pada laluan penerbangan kami dengan berunding dengan pihak berkuasa yang berkaitan,” kata Flydubai dalam satu kenyataan.

Penutupan ruang udara dan lapangan terbang di Iran meningkat bagi syarikat penerbangan yang berpangkalan di Dubai selepas rekod ribut di Emiriah Arab Bersatu.

Hari ini, lapangan terbang utama Dubai, salah sebuah lapangan terbang yang paling sibuk di dunia berkata, mereka akan mengehadkan bilangan penerbangan yang tiba selama dua hari kerana bergelut menyelesaikan masalah tertunggak tiga hari selepas ribut.

Sejak Selasa lalu, 1,478 penerbangan dibatalkan ke dan dari Dubai, kira-kira 30 peratus daripada semua penerbangan, menurut FlightRadar24.

Banyak syarikat penerbangan Barat dan Asia telah pun menjauhi Iran dan ruang udaranya sebelum serangan Israel yang berlaku beberapa hari selepas serangan peluru berpandu dan dron Iran ke atas Israel.

Lufthansa pada Rabu lalu melanjutkan penggantungan penerbangan ke Tehran sehingga akhir bulan ini, memetik kebimbangan keselamatan yang berterusan di rantau itu.

Qantas Airways Australia berkata, pihaknya mengubah laluan penerbangan di antara Perth dan London kerana mengelak ruang udara Iran.

Syarikat Penerbangan Taiwan berkata dalam satu kenyataan bahawa mereka terus memberi perhatian kepada situasi semasa itu dan merancang laluan paling sesuai mengikut saranan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat dan Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah.

EVA Air Taiwan pula memberitahu Reuters bahawa penerbangannya mengelak ruang udara Iran.

Etihad Airways yang tidak terbang ke Iran berkata, ia berterusan memantau keselamatan dan kemas kini ruang udara. -REUTERS

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×