GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa siasatan antarabangsa dilakukan terhadap laporan kewujudan kubur besar di dua hospital Gaza yang musnah dalam kepungan Israel.
Lapor CNA, Pejabat Hak Asasi Manusia PBB berkata, pihaknya berasa ngeri dengan kemusnahan yang berlaku di hospital terbesar Gaza, Al-Shifa di Bandar Gaza dan kedua terbesar, Kompleks Perubatan Nasser di Khan Younis.
Isnin lalu, Agensi Pertahanan Awam wilayah Palestin berkata, pekerja kesihatan menemukan lebih 200 mayat orang yang terbunuh dan dikebumikan di Hospital Nasser yang dikepung oleh tentera Israel bulan lalu.
Malah, pada awal bulan ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, Al-Shifa dimusnahkan oleh Israel serta meninggalkan banyak mayat.
Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk berkata, pihaknya menuntut penyiasatan bebas, berkesan dan telus terhadap kematian yang berlaku.
“Memandangkan pembunuhan sewenang-wenangnya berlaku, ini harus melibatkan penyiasat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Turk menambah, hospital berhak mendapat perlindungan yang sangat istimewa di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
“Dan pembunuhan dengan sengaja orang awam, tahanan dan lain-lain yang menjadi hors de combat adalah merupakan satu jenayah perang.”
Bagaimanapun, Turk menjelaskan, pihaknya tidak mempunyai akses kepada maklumat tentang apa yang berlaku di kedua-dua hospital berkenaan.
Namun, seorang jurucakap Pejabat Hak Asasi Manusia PBB, Ravina Shamdasani berkata, usaha sedang dijalankan untuk mengesahkan laporan dan butiran yang diberikan oleh pihak berkuasa Gaza.
Laporan yang terakhir, beliau berkata, sebanyak 283 mayat ditemukan dari hospital Nasser termasuk 42 yang dikenal pasti identiti mereka.
“Mangsa dilaporkan tertimbus jauh di dalam tanah dan ditutup dengan sisa. Orang tua, wanita dan cedera dilaporkan antara yang maut.
“Yang lain didakwa ditemukan dengan tangan diikat dan dilucutkan pakaian,” ujar Ravina.
Hospital yang dilindungi di bawah undang-undang antarabangsa itu berulang kali berada di bawah pengeboman Israel selama lebih daripada enam bulan perang di Gaza.
Israel menuduh kumpulan Hamas menggunakan kemudahan perubatan Gaza sebagai pusat arahan dan menahan tebusan yang diculik semasa serangannya di dalam Israel pada 7 Oktober lalu.
Bagaimanapun, Hamas menafikan dakwaan tersebut.










