PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan digesa mengkaji semula Akta Perubatan ke arah pembaharuan yang bermakna dengan mula melakukan reformasi dalam Majlis Perubatan Malaysia (MMC).
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Azizan Abdul Aziz berkata, usaha itu perlu diambil sementara menunggu cadangan pindaan Akta Perubatan 1971 (Akta 50) berhubung Program Parallel Pathway.
“Jawatan Presiden MMC harus diputuskan melalui pilihan raya dan bukan melalui pelantikan. Malah, komposisi MMC ahli majlis MMC perlu terdiri daripada sekurang-kurangnya 80 peratus,” katanya.
Semalam, media melaporkan, Kementerian Kesihatan akan mengemukakan cadangan kepada Kabinet untuk menyegerakan Akta 50 berhubung Program Parallel Pathway ekoran masalah kekurangan pakar perubatan di hospital kerajaan yang kian mendesak.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya berhasrat menyegerakan pindaan itu selewat-lewatnya pada sidang Parlimen pada Jun ini bagi penguatkuasaan secepat mungkin.
Mengulas lanjut, Dr. Azizan berkata, sistem pengundian yang masih menggunakan undi pos adalah lapuk dan perlu dipermudahkan melalui pendigitalan selaras dengan agenda transformasi kesihatan digital Kementerian Kesihatan.
Katanya, ini kerana proses membuang undi ketika ini menyukarkan pemilih sekali gus menyebabkan hanya 10 peratus undian daripada hampir 70,000 pengamal perubatan dibuang setiap kali pilihan raya diadakan.-UTUSAN







