BUKAN mudah untuk menikmati menu sihat semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri. Cabaran dan dugaannya kuat kerana kebanyakan hidangan tradisi menggunakan bahan utama yang tinggi kalori seperti santan, minyak, garam dan gula.
Justeru, perancangan awal penting dilakukan agar segala usaha menjaga kesihatan sepanjang Ramadan tidak terjejas.

Timbalan Dekan Akademik (Sains Kesihatan) dan Hal Ehwal Pelajar, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Barakatun Nisak Mohd. Yusof berkata, semasa berpuasa berat seseorang boleh turun antara tiga hingga lima kilogram.
Namun, jika makan melebihi keperluan, berat badan yang hilang semasa berpuasa boleh kembali kepada asal dan tidak mustahil naik dengan lebih banyak.
Oleh itu penting untuk kita merancang menu dalam menyediakan juadah raya di rumah termasuk mengubah
kaedah memasak bagi mengurangkan kandungan gula dan lemak dalam sajian,” katanya mengulas mengenai
pilihan sihat terbaik di Aidilfitri.
Saranannya, untuk hidangan utama, sediakan nasi putih dan himpit berbanding nasi berperasa seperti minyak, beriani atau lemang yang tinggi kandungan lemak.
“Lauk-pauk pula berasaskan sup yang dimasak dengan minyak sedikit, ayam panggang dan aneka sayur-sayuran sebagai pelengkap hidangan.
“Untuk minuman pula, sediakan air kosong, asingkan gula apabila menghidangkan teh atau kopi dan kurangkan air berkarbonat,” katanya.
Bagi menu pembuka selera dan pemanis mulut seperti aneka manisan mungkin boleh digantikan dengan buah-buahan segar.

Menu sihat lebih mudah disediakan
Pengurusan Hotel dan Pelancongan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Terengganu, Arma Mohd. Faizal Abu Bakar menyenaraikan empat menu sihat dan mudah untuk disediakan di rumah.
-LONTONG KUAH LODEH
Kuah lodeh mengandungi pelbagai jenis sayuran seperti lobak merah, kubis putih, kacang panjang dan sengkuang. Selain itu, ia juga dilengkapi dengan sumber protein seperti telur rebus, tempe dan tauhu. Hidangan ini boleh dikategorikan sihat kerana kuahnya tidak ditumis (tidak menggunakan minyak masak). Namun perlu berhati-hati dengan jumlah pengambilan nasi himpit kerana kandungan karbohidrat yang tinggi.

-LAKSA UTARA
Laksa utara merupakan antara menu sihat kerana kaedah memasaknya hanya menerusi rebus dan reneh. Kuahnya diperbuat daripada ikan (protein) di samping kaya dengan serat kerana dihidangkan bersama sayur-sayuran seperti daun salad, timun, bawang, cili dan nanas.
-SATE
Dimasak dengan kaedah bakar atau panggang serta dihidangkan bersama sayuran seperti timun dan bawang. Namun, ia boleh menjadi ‘tidak sihat’ jika dimakan berlebihan bersama kuah kacang dan nasi himpit.

-SOTO
Kurangkan minyak ketika menumis kuah dan elak daripada menggunakan lemak serta kulit ayam.










