LARNACA: Konvoi bantuan makanan yang sepatutnya dihantar untuk Gaza diarah kembali ke Cyprus selepas tujuh pekerja bantuan World Central Kitchen (WCK) terbunuh dalam serangan udara Israel pada petang Isnin lalu.
Sebuah kapal kargo yang membawa 240 tan metrik makanan yang diperuntukkan untuk penduduk wilayah Palestin yang terkepung belayar kembali ke Larnaca di Cyprus berikutan serangan maut itu.
Kapal kedua, Spanish Open Arms milik badan bukan kerajaan (NGO) Sepanyol yang bekerja dengan WCK, tiba lebih awal.
Bantuan yang tidak dihantar itu adalah sebahagian daripada konsainan kira-kira 340 tan metrik yang dihantar ke Gaza dari Cyprus pada 30 Mac lalu.
Dilaporkan, pekerja bantuan yang terkorban di Gaza baru sahaja selesai memunggah 100 tan dari tongkang, juga dihantar dari Cyprus.
WCK yang aktif di Gaza sejak Oktober lalu menghentikan operasi di wilayah itu sejak pembunuhan dan berpatah balik flotila kapalnya untuk kembali ke Cyprus.
Pada bulan Mac lalu, WCK melancarkan koridor laut sulung dengan mengangkut bantuan ke kawasan yang terkepung dari pulau Mediterranean timur.
Cyprus menawarkan untuk menambah bantuan masuk ke Gaza melalui laut dengan proses saringan keselamatan di pulau untuk bantuan yang diawasi oleh tentera Israel.
Badan amal Spanish Open Arms yang menyediakan kapal penyelamat untuk kedua-dua misi yang diaturkan oleh WCK, mengambil gambar kumpulan aktivis memakai baju-t WCK dan berpelukan antara satu sama lain di haluan kapal penyelamat semasa belayar ke Cyprus.
Mereka menulis di X: “Misi 110 tamat dalam keadaan yang tidak dapat kami bayangkan, yang paling menyakitkan.
“Kami merindui Saifeddin, Zomi, Damian, Jacob, John, Jim, dan James, mereka akan kekal dalam ingatan kami selama-lamanya.
“Kami akan terus bersuara untuk mereka, bagi lebih 32,500 orang terbunuh di #Gaza, ratusan pekerja kemanusiaan, hospital yang musnah, wartawan dan semua ‘kes terpencil’ yang bukan kemalangan, tetapi sebahagian daripada struktur kematian dan kemusnahan.
Kami tidak akan melupakan anda. Hari ini, keperitan keluarga @wckitchen juga milik kita,” katanya. – REUTERS










