GAZA: Ketua Pasukan Pertahanan Israel (IDF), Herzi Halevi memberitahu serangan yang mengorbankan tujuh pekerja bantuan di Gaza adalah kesilapan besar selepas kematian itu mencetuskan kemarahan antarabangsa.
Halevi berkata demikian dalam mesej video selepas serangan yang melanda konvoi badan amal, World Central Kitchen (WCK) yang menyampaikan bantuan ke Gaza melalui jalan laut Isnin lalu.
“Ia tidak sepatutnya berlaku. Kami memohon maaf atas kecederaan yang tidak disengajakan kepada ahli WCK,” kata Halevi, sambil menyalahkan serangan itu sebagai salah sasaran pada waktu malam.
BUMBUNG KENDERAAN PECAH
Rakaman AFPTV dari tempat kejadian menunjukkan bumbung kenderaan pecah terpampang dengan logo WCK di samping bangkai kenderaan lain.
Sejak permulaan perang Oktober lalu, badan amal yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu terlibat dalam memberi makan penduduk Gaza dan merupakan satu daripada dua organisasi yang menerajui penghantaran bantuan makanan yang tiba melalui laut.
Kata Halevi, pekerja yang terbunuh pada Isnin lalu baru sahaja memunggah lebih 100 tan bantuan makanan kemanusiaan yang dibawa ke Gaza melalui laluan maritim.
DIKECAM PEMIMPIN DUNIA
Serangan itu yang membunuh kakitangan Australia, British, Palestin, Poland dan AS-Kanada, dikecam secara meluas dengan pemimpin dunia menuntut siasatan.
Dalam satu kenyataan yang tegas, Presiden AS, Joe Biden berkata, Israel tidak cukup melindungi pekerja bantuan yang cuba menyampaikan bantuan yang sangat diperlukan kepada orang awam.
Dia menggesa siasatan segera dilakukan untuk membawa akauntabiliti terhadap apa yang dikatakannya bukan insiden yang berdiri sendiri.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres memberitahu dalam Perhimpunan Agung bahawa 196 pekerja kemanusiaan terbunuh dalam peperangan.
GENCATAN SENJATA SEGERA
Dia bagaimanapun menyebut serangan itu sebagai tidak wajar.
“Ia sekali lagi menunjukkan keperluan mendesak untuk gencatan senjata kemanusiaan segera,” kata Guterres.
WCK berkata, pihak mereka berkabung atas kehilangan tujuh pewiranya, menamakan mereka sebagai Saifeddine Issam Ayad Abutaha, 25; Lalzawmi (Zomi) Frankcom, 43; Tiang Damian Sobol, 35; Jacob Flickinger, 33, John Chapman, 57, James (Jim) Henderson, 33 dan James Kirby, 47.
SERANGAN BERSASAR
Ketua Pegawai Eksekutif WCK, Erin Gore berkata, tujuh jiwa mulia ini dibunuh oleh IDF ketika mereka pulang dari misi bantuan.
Katanya, mereka menggelar serangan itu sebagai serangan bersasar dan berkata pasukannya terdahulu sudah pun menyelaraskan pergerakannya dengan tentera Israel.
“Ini bukan sahaja serangan terhadap WCK, ini adalah serangan ke atas organisasi kemanusiaan yang muncul dalam situasi paling mengerikan di mana makanan digunakan sebagai senjata perang,” kata Gore dalam satu kenyataan sebelum ini.
MALAPETAKA KEBULURAN
Gaza berada di bawah sekatan Israel sejak permulaan perang dengan PBB menuduh Israel menghalang penghantaran bantuan kemanusiaan dan memberi amaran tentang malapetaka kebuluran.
WCK memudahkan penyediaan bekalan yang dibawa melalui laut dari Cyprus.
Susulan serangan itu, Gore menambah, pihaknya menangguhkan operasinya di rantau itu, meningkatkan kebimbangan mengenai bagaimana bantuan makanan yang diperlukan segera akan sampai kepada penduduk yang kelaparan.
Kerajaan Cyprus berkata bahawa kapal bantuan Jennifer akan kembali ke pulau Mediterranean berkenaan dengan kira-kira 240 tan bekalan yang belum dipunggah.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, tentera tidak sengaja membunuh pekerja bantuan, menyebutnya sebagai kes tragis yang akan disiasat sehingga akhir.
Netanyahu bagaimanapun tidak meminta maaf.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese berkata, beliau sudah menghubungi dengan Netanyahu melalui telefon, menyatakan kemarahan dan kebimbangannya berhubung insiden berkenaan.
Britain pula turut memanggil Duta Israel ke London dan menuntut tanggungjawab penuh manakala Poland menuntut pampasan untuk keluarga pekerja bantuan yang terbunuh.
Mayat enam pekerja bantuan asing itu akan dihantar ke sempadan selatan Gaza semalam sebelum dihantar pulang, menurut Marwan al Hams, pengarah sebuah hospital di bandar selatan wilayah itu, Rafah. -AFP











