GAZA: Israel tidak mengemukakan bukti yang boleh dipercayai untuk menyokong dakwaan bahawa kakitangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) merupakan ahli kumpulan pengganas.
Hal ini didedahkan menerusi sebuah kajian bebas untuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diketuai oleh bekas Menteri Luar Perancis, Catherine Colonna.
DEFISIT PEMBIAYAAN
Paling malang, tuduhan terhadap UNRWA menyebabkan defisit pembiayaan yang besar apabila beberapa negara penderma dunia mengumumkan pemotongan pembiayaan mereka.
Menerusi kajian itu, semakan bebas juga dilakukan terhadap agensi bantuan berkenaan selain penyiasatan berasingan berhubung serangan Hamas pada 7 Oktober lalu oleh Pejabat Perkhidmatan Pengawasan Dalaman PBB.
Kajian semula itu yang diketuai Colonna dan disokong oleh tiga institut penyelidikan Nordic menjelaskan bahawa Israel gagal menyokong dakwaannya mengenai kakitangan UNRWA yang tergolong dalam sayap tentera Hamas atau Jihad Islam Palestin.
Tiga institut tersebut ialah Institut Hak Asasi Manusia dan Undang-undang Kemanusiaan Raoul Wallenberg Sweden, Institut Chr Michelsen Norway dan Institut Hak Asasi Manusia Denmark.
Pada Januari lalu, Israel menuduh kakitangan UNRWA bersubahat dalam serangan 7 Oktober lalu ke atas Israel yang mengakibatkan kematian 1,139 orang dan penangkapan orang yang tidak diketahui jumlahnya, dianggap melebihi 200 orang.
TUDUHAN TANPA BUKTI
Dalam dokumen asal enam muka surat yang dilihat oleh Al Jazeera, perisikan Israel membuat beberapa tuduhan terhadap UNRWA tanpa bukti termasuk kemudahan agensi itu digunakan oleh Hamas dalam serangan pada 7 Oktober lalu.
Selain itu, menurut dokumen itu, 12 kakitangan UNRWA didakwa mengambil bahagian secara langsung dalam serangan itu dengan 190 yang lain menawarkan sokongan risikan dan logistik.
Laporan yang lebih terperinci yang dihasilkan oleh tiga kumpulan penyelidik Nordic yang menyokong Colonna menulis, pihak berkuasa Israel setakat ini tidak memberikan sebarang bukti sokongan mahupun membalas surat daripada UNRWA pada bulan Mac lalu.
Malah, sekali lagi pada bulan April, pihak berkuasa Israel tidak memberi nama dan bukti sokongan yang membolehkan UNRWA untuk membuka siasatan.
GANTUNG PEMBIAYAAN
Berdasarkan tuduhan Israel semata-mata, 18 negara penderma termasuk penderma utama UNRWA, Amerika Syarikat (AS), menggantung pembiayaan kepada agensi itu.
Namun begitu, sesetengah negara seperti United Kingdom (UK) memilih untuk menunggu hasil daripada laporan Colonna manakala majoriti penderma menarik balik keputusan mereka dan meneruskan pembiayaan.
Penderma seperti Kesatuan Eropah meningkatkan perbelanjaan mereka.
Hanya Austria, Jerman, Itali, Belanda, UK dan AS mengekalkan penggantungan pembiayaan.
AS akan mengekalkan penggantungannya sehingga Mac 2025 walaupun perkhidmatan perisikannya sendiri pada Februari lalu menyatakan keyakinan tahap rendah terhadap dakwaan Israel.
Ketika dihubungi oleh Al Jazeera, jurucakap Jabatan Negara AS mengesahkan adalah penting tuduhan yang dibuat terhadap UNRWA disiasat secara menyeluruh walaupun larangan pembiayaan dilaksanakan sebelum siasatan dilakukan.
CARI JALAN LAIN BANTUAN KEMANUSIAAN
Jurucakap Pejabat Luar UK memberitahu Al Jazeera bahawa mereka berasa terkejut dengan dakwaan Israel dan sedang meneroka jalan lain untuk memberi bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Jerman, salah satu sekutu paling teguh Israel mengesahkan menyambung semula pembiayaan untuk aktiviti UNRWA di semua kawasan kecuali Gaza.
Pengarah Komunikasi untuk UNRWA, Juliette Touma berkata, pihaknya kini mempunyai dana pembiayaan yang mencukupi sehingga Jun.
Selepas itu, katanya, tidak jelas bagaimana kedudukan mereka untuk beroperasi.
“Tiada agensi lain boleh melakukan apa yang kami lakukan.
“Kami sebelum ini beroperasi di seluruh Gaza. Bagaimanapun, pada akhir Mac, Israel berkata, ia akan menyekat konvoi makanan UNRWA ke utara,” tambahnya.
Kebuluran kini mengancam berjuta-juta orang di Gaza, menurut sistem Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) yang digunakan oleh agensi bantuan untuk menentukan tahap ancaman.
Menurut laporan IPC, kira-kira 210,000 orang yang tinggal di utara Gaza dan Bandar Gaza berkemungkinan sudah mengalami kebuluran.
Selatan dan tengah Gaza termasuk Deir el-Balah, Khan Younis dan Rafah diklasifikasikan sebagai berada dalam kecemasan dan dijangka mengalami kebuluran menjelang Julai ini jika tiada campur tangan atau gencatan senjata berlaku.
“Saya tidak pernah mengetahui kawasan memasuki sistem IPC secepat itu. Di Yemen, ia mengambil masa bertahun-tahun sebelum IPC diaktifkan. Di Gaza, ia mengambil masa tiga bulan. Gaza sedang dikepung.
“Jangan silap, kebuluran kini digunakan sebagai senjata perang,” kata Touma.










