Iran enggan lancar serangan balas - Utusan Malaysia

Iran enggan lancar serangan balas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Iran tidak mempunyai rancangan untuk membalas dendam selepas Israel melancarkan serangan tiga dron di lapangan terbang di bandar Isfahan, Jumaat lalu. 

Tindak balas itu dilihat bagi mengelakkan serangan tercetus lebih meluas ke seluruh wilayah negara itu. 

Menteri Luar Iran, Hossein Amirabdollahian berkata, ‘dron mini’ yang dilancarkan tidak menyebabkan kerosakan atau kemalangan jiwa. 

“Penyokong media rejim Zionis sangat terdesak untuk mencipta kemenangan akibat kekalahan mereka. 

“Mini dron yang dijatuhkan tidak menyebabkan sebarang kerosakan atau kemalangan jiwa,” katanya lapor Reuters. 

Media dan pegawai Iran memaklumkan hanya sejumlah kecil letupan berlaku akibat tiga dron Israel mengenai pertahanan udara di bandar Isfahan. 

Jelasnya, tiada serangan peluru berpandu dan letupan mengenai sasaran hasil daripada pengaktifan sistem pertahanan udara Iran.

“Kami tidak menerima sebarang serangan luar. Perbincangan kini lebih menjurus kepada aktiviti penyusupan berbanding serangan tersebut,” katanya. 

Ditanya berulang kali semasa sidang akhbar di Itali, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken berkata, beliau tidak akan mengulas mengenai insiden serangan itu. 

Beiau hanya menekankan AS komited terhadap keselamatan Israel, tetapi tidak akan terlibat dalam sebarang operasi serangan. 

Serangan itu berlaku beberapa hari selepas Iran melancarkan serangan peluru berpandu dan dron terhadap Israel, bagi membalas serangan Israel ke atas kedutaannya di Damsyik, Syria.

Bagaimanapun, kebanyakan peluru berpandu dan dron itu berjaya ditembak jatuh sebelum meledak di Israel.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×