Denggi: Kes kematian di Indonesia meningkat - Utusan Malaysia

Denggi: Kes kematian di Indonesia meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Kes kematian akibat demam denggi di Indonesia semakin membimbangkan apabila mencatatkan peningkatan 179.4 peratus bersamaan 475 mangsa berbanding 170 nyawa terkorban dalam tempoh sama, tahun lalu.  

Setakat minggu ke-15, jumlah kes yang direkodkan adalah sebanyak 62,001 kes berbanding 22, 551 kes dalam tempoh sama, tahun lalu, lapor Antara.  

Ketua Bahagian Komunikasi dan Perkhidmatan Awam Kementerian Kesihatan, Siti Nadia Tarmizi dalam satu kenyataan menyatakan lima daerah dan bandar mencatatkan jumlah kematian tertinggi akibat demam denggi iaitu Bandung (25), Jepara (21), Subang (18), Kendal (16) dan Kota Bekasi (15).

Lima daerah dan bandar dengan jumlah kes demam denggi tertinggi ialah Tangerang (2,540), Kota Bandung (1,741), Bandung Barat (1,422), Lebak (1,326) dan Kota Depok (1,252).

Pada minggu sebelumnya, pihak kementerian merekodkan 455 kes kematian dengan 60,296 kes demam denggi dilaporkan. 

Awal April lalu, Ketua Pengarah Pencegahan dan Kawalan Penyakit, Maxi Rein Rondonuwu, membayangkan kemungkinan peningkatan berterusan dalam jumlah kes sehingga peralihan musim berlaku.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan orang ramai agar bertenang dan menjaga kebersihan diri serta persekitaran bagi mencegah penyakit itu. 

“Orang ramai diingatkan supaya menghapuskan sarang jentik-jentik secara berkala dan menyeluruh terutamanya pada musim hujan.

“Jangan abaikan apa-apa yang boleh menyebabkan lopak air. Sekiranya ia dibiarkan, ia boleh menjadi tempat nyamuk membiak,” katanya. 

Dalam pada itu, Speaker Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indonesia, Bambang Soesatyo menggesa pemberian vaksin kepada orang ramai bagi mengelak penyebaran denggi di negara ini. 

“Kita meminta pihak Kementerian Kesihatan untuk menyebarluaskan maklumat tentang suntikan vaksin kepada masyarakat dengan sasaran umur enam hingga 45 tahun,” katanya. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya