KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Arif Junaidi-Yap Roy King mengesahkan tempat ke suku akhir selepas menewaskan rakan senegara, Kang Kai Xing-Aaron Tai pada peringkat 16 terbaik Kejohanan Badminton Malaysia Masters di Unifi Arena dekat sini, hari ini.
Gandingan No. 16 dunia itu yang kali pertama mara ke suku akhir pada tahun ini melakar kemenangan straight set ke atas beregu remaja yang berada di ranking ke-26 dunia 21-12, 22-20 dalam masa 30 minit.
Kejayaan tersebut merupakan kemenangan kedua berturut-turut Arif-Roy King ke atas Kai Xing-Aaron dan pada suku akhir, esok, mereka bakal berdepan Chen Zhi Yi-Presley Smith dari Amerika Syarikat.
Zhi Yi-Smith meleburkan harapan satu lagi beregu Malaysia, setelah menyingkirkan gandingan profesional, Nur Mohd Azriyn Ayub Azriyn-Tan Wee Kiong 21-14, 21-18 dalam masa 34 minit.
Arif berkata, dia berpuas hati dengan persembahan, hari ini dan permainan mereka lebih baik berbanding sewaktu pusingan pertama.
“Bukan nak cakap lawan kita main tak bagus, tetapi, mereka rakan seperjuangan dan kami saling mengetahui kelebihan serta kekurangan masing-masing,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Menurutnya, Kai Xing-Aaron mempunyai kelebihan berbeza, seperti Aaron, dia memiliki kekuatan pada tangannya dan berani bermain di hadapan gelanggang, manakala, Kai Xing bagus pukulan di jaring.
Mengulas mengenai aksi suku akhir, Arif berkata, sudah agak lama mereka tidak bertemu beregu Amerika Syarikat itu dan kali terakhir berjumpa pada Terbuka New Orleans, tahun lalu.
“Waktu itu kami menang, sudah setahun lebih juga tak jumpa. Sekarang ini kami mahu fokus kepada proses pemulihan dan berbincang dengan jurulatih, sebab lawan tentu sempat tengok kami main tadi,” katanya.
Sementara itu, nasib berbeza dialami perseorangan wanita Malaysia, Goh Jin Wei yang gagal meneruskan rentak konsisten sewaktu mengejutkan pemain No. 18 dunia, Busanan Ongbamrungphan dari Thailand pada pusingan pertama, semalam.
Pada pusingan kedua, hari ini, pemain No. 55 dunia itu tumpas straight set kepada wakil India, Ashmita Chaliha 13-21, 16-21 dalam masa 27 minit. – UTUSAN










