Dunia kecam tindakan Ben Gvir

Dunia kecam tindakan Ben Gvir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben Gvir mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa selepas memuat naik rakaman menunjukkan aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 yang ditahan dalam keadaan berlutut dengan tangan diikat dan dahi menyentuh tanah.

Video yang dikongsi di platform X itu disiarkan selepas tentera Israel memintas kapal peserta GSF 2.0 di perairan antarabangsa dan menahan ratusan aktivis antarabangsa termasuk rakyat Malaysia ke pelabuhan di selatan Ashdod.

Rakaman itu mencetuskan kecaman antarabangsa, malah turut dikritik oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Menteri Luar, Gideon Saar.

Dengan kapsyen ‘Welcome to Israel’ (selamat datang ke Israel), video itu menunjukkan puluhan aktivis dipaksa berlutut dengan tangan diikat dan dahi menyentuh tanah dengan lagu kebangsaan Israel dimainkan.

Rakaman itu juga menunjukkan Ben Gvir mengejek dan merendah-rendahkan aktivis sambil mengibarkan bendera Israel di hadapan mereka.

Duta Amerika Syarikat (AS) ke Israel, Mike Huckabee mengecam tindakan itu sebagai memalukan.

“Seluruh pegawai tertinggi Israel mengecam tindakan hina Ben Gvir. Flotila itu mungkin aksi bodoh tetapi Ben Gvir telah mencemarkan maruah negaranya,” katanya di X.

Pesuruhjaya Eropah, Hadja Lahbib turut mengkritik Ben Gvir dengan menyatakan tiada siapa patut dihukum kerana mempertahankan kemanusiaan.

Perancis memanggil duta Israel berhubung tindakan yang disifatkan tidak boleh diterima manakala Sepanyol mengecam layanan kejam terhadap aktivis dan turut memanggil wakil diplomatik Israel sebagai bantahan.

Belgium dan Kanada turut memanggil duta Israel masing-masing susulan video yang dianggap ‘mengganggu’ itu.

Menteri Luar Ireland, Helen McEntee berkata, beliau terkejut dan marah dengan rakaman tersebut serta menuntut pembebasan segera aktivis termasuk adik kepada Presiden Ireland, Catherine Connolly.

Kementerian Luar Turkiye pula berkata, Ben Gvir sekali lagi menunjukkan mentaliti ganas dan tidak bertamadun Kerajaan Netanyahu.

Netanyahu pula menyatakan bahawa tindakan Ben Gvir tidak selari dengan nilai dan norma Israel.

“Saya telah mengarahkan pihak berkaitan untuk mengusir kumpulan provokator (aktivis) itu secepat mungkin,” katanya.

Namun, Ben Gvir mempertahankan tindakannya, malah menyatakan berbangga menjadi menteri yang bertanggungjawab dalam operasi menahan peserta GSF 2.0.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN