Gunpla bawa Izwan ke mata dunia

Gunpla bawa Izwan ke mata dunia

Izwan mula bergiat aktif dalam dunia gunpla sejak 2016.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bagi Muhammad Izwan bin Izham, minat terhadap dunia miniatur robotik bukan sekadar aktiviti untuk mengisi masa lapang, malah ia adalah satu cabang seni yang menuntut kesabaran luar biasa.

Muhammad Izwan atau lebih dikenali sebagai Troy Lee Studio ini menyifatkan hobi tersebut sebagai satu punca kepuasan yang unik dalam hidupnya.

Minat yang mula bercambah secara serius sejak tahun 2016 ini menyaksikan dia kini memiliki koleksi yang mencecah 500 unit.

Dia mendedahkan daripada jumlah tersebut, kira-kira 20 peratus adalah hasil kerja tangan yang telah melalui proses pengubahsuaian atau kustom secara peribadi.

Meskipun mula serius mengumpul pada usia 26 tahun, perjalanan Muhammad Izwan bermula dengan teknik pemasangan biasa sebelum beralih ke arah kerja pembuatan khas yang lebih mencabar.

“Bila saya sudah mula pasang, akan timbul rasa ingin tahu dan bila sudah siap, ada satu perasaan puas yang sukar digambarkan,” jelasnya.

Izwan aktif menyertai pertandingan besar di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Kepuasan hasil kerja sendiri

Dunia Gunpla bagi Muhammad Izwan mencapai tahap kepuasan yang lebih tinggi apabila dia mula memberanikan diri untuk melakukan modifikasi penuh terhadap model miliknya.

Dia menjelaskan antara koleksi yang paling bernilai dalam simpanannya adalah projek kustom yang melibatkan penggunaan kit gred tinggi seperti Perfect Grade (PG).

Proses transformasi tersebut kemudiannya disempurnakan dengan teknik semburan cat airbrush yang menuntut ketekunan luar biasa bagi memastikan setiap komponen tampak realistik.

“Antara yang paling mahal biasanya datang dari project custom yang boleh mencecah ribuan ringgit bagi setiap kotak bergantung pada tahap detailingnya,” katanya.

Bagi Muhammad Izwan, setiap unit Gunpla mempunyai keunikan tersendiri terutamanya apabila ia melibatkan proses transformasi daripada plastik biasa kepada sebuah karya seni.

Dia percaya setiap hasil kerja kustom adalah cerminan kepada kreativiti seseorang pembina dalam menterjemahkan imaginasi kepada bentuk fizikal.

Mengukir nama di pentas dunia

Kemuncak kepada minat mendalam Muhammad Izwan adalah apabila dia mula menyertai pelbagai pertandingan besar di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

Namanya mula mengharumkan nama negara selepas berjaya memenangi pertandingan berprestij Gundam Builders World Cup (GBWC) edisi ke-12.

Pencapaian paling membanggakan buat dia adalah apabila diberi peluang mewakili Malaysia ke pertandingan GBWC peringkat dunia yang berlangsung di Tokyo, Jepun pada tahun 2024.

“Pencapaian terbesar bagi saya adalah memenangi GBWC 12th dan mewakili Malaysia ke pertandingan peringkat dunia di Tokyo,” katanya.

Minat terhadap dunia robotik miniatur menuntut kesabaran tinggi.

Bertanding di bawah kategori usia 21 tahun ke atas, dia membawa nama negara ke pentas global dan bersaing dengan peserta-peserta terbaik dari seluruh dunia.

Baginya, kepuasan sebenar adalah apabila hasil kerja mula dikenali dalam komuniti serta berpeluang memamerkan karyanya dalam acara besar.

Harapan terhadap komuniti

Muhammad Izwan menaruh harapan yang besar agar kehadiran pusat rujukan seperti Gundam Base Malaysia dapat menarik lebih ramai peminat baharu.

Dia mahu golongan pemula tidak berasa bimbang untuk mencuba hobi ini kerana setiap individu boleh bermula dengan langkah pemasangan yang mudah.

“Harapan saya adalah untuk menarik lagi ramai beginners yang berminat tapi mungkin takut-takut nak mencuba pada awalnya,” katanya.

Dia juga menggalakkan peminat sedia ada untuk berani melangkah ke tahap kustom bagi merasai tahap kepuasan yang lebih tinggi dalam hobi ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN