Kurang keyakinan diri dalam kalangan kanak-kanak sering kali tidak disedari, namun ia boleh menjadi petanda awal kepada gangguan perkembangan emosi yang memberi kesan jangka panjang terhadap kehidupan sosial dan psikologi mereka.
Kaunselor berdaftar, Nurfarahira Ahmad Yaccob berkata, masalah ini lazimnya bermula sejak awal kanak-kanak apabila mereka gagal membina kepercayaan terhadap kebolehan diri sendiri akibat persekitaran yang tidak menyokong perkembangan emosi secara sihat.

“Kanak-kanak yang mengalami krisis keyakinan diri biasanya menunjukkan perubahan tingkah laku seperti mengelak cabaran, enggan mencuba perkara baharu serta sering menggunakan ayat negatif terhadap diri sendiri seperti ‘saya tak pandai’ atau ‘saya tak boleh buat’,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain itu, mereka juga cenderung menunjukkan bahasa badan yang tertutup seperti mengelak hubungan mata, kelihatan resah dalam situasi sosial serta sangat sensitif terhadap teguran kecil.
Dalam sesetengah kes, kanak-kanak boleh menunjukkan dua bentuk reaksi berbeza iaitu terlalu patuh demi mendapatkan penerimaan atau menjadi agresif sebagai mekanisme pertahanan terhadap rasa rendah diri.
Faktor persekitaran
Faktor yang menyebabkan kanak-kanak kurang yakin dengan diri sendiri lazimnya berpunca daripada persekitaran pembesaran yang tidak stabil, terlalu kritikal atau kurang memberi sokongan emosi yang sihat.
Menurut teori perkembangan psikososial oleh Erik Erikson, pada fasa Autonomy vs Shame and Doubt yang berlaku sekitar usia 18 bulan hingga tiga tahun, kanak-kanak mula belajar berdikari dan membina kepercayaan terhadap kebolehan diri sendiri.
“Jika kanak-kanak sering dihalang daripada melakukan aktiviti secara sendiri atau terlalu kerap dimarahi apabila melakukan kesilapan kecil, mereka akan mula memupuk perasaan ragu-ragu terhadap kemampuan diri,” jelasnya.
Menurut beliau, kegagalan melepasi fasa perkembangan tersebut dengan baik boleh menyebabkan kanak-kanak membawa rasa malu dan rendah diri ke peringkat umur seterusnya.
Pengalaman trauma, pengabaian emosi serta tekanan pencapaian yang terlalu tinggi daripada ibu bapa atau penjaga juga merupakan antara faktor utama yang menyumbang kepada kemerosotan harga diri kanak-kanak.
Didikan ibu bapa
Menurut Nurfarahira, cara didikan ibu bapa memainkan peranan besar dalam membentuk keyakinan diri anak-anak.
Didikan autoritarian yang terlalu tegas dan mengabaikan emosi anak boleh menyebabkan mereka membesar dalam keadaan takut melakukan kesilapan serta kurang yakin terhadap diri sendiri.
Sebaliknya, gaya didikan autoritatif yang menggabungkan disiplin dan sokongan emosi membantu kanak-kanak merasa lebih selamat untuk meneroka dan mencuba perkara baharu.
Sikap ibu bapa yang terlalu melindungi juga boleh menjejaskan perkembangan keberanian anak kerana mereka tidak diberi peluang untuk berdikari dan menghadapi cabaran sendiri.
Tekanan sekolah dan media sosial
Tambahnya, persekitaran sekolah dan media sosial kini menjadi antara faktor utama yang mempengaruhi emosi serta keyakinan diri kanak-kanak.
Berdasarkan teori perkembangan Erik Erikson, kanak-kanak berusia antara enam hingga 12 tahun berada dalam fasa Industry vs Inferiority, iaitu tahap di mana mereka mula menilai diri melalui pencapaian dan penerimaan daripada orang sekeliling.
“Di sekolah, kanak-kanak mula mengukur nilai diri berdasarkan pencapaian akademik dan penerimaan rakan sebaya. Apabila mereka merasakan diri tidak setanding dengan orang lain, perasaan rendah diri mudah terbentuk,” katanya.
Media sosial pula, memburukkan keadaan apabila kanak-kanak terdedah kepada paparan kehidupan dan rupa paras yang telah ditapis sehingga menyebabkan mereka merasa serba kekurangan.
“Tekanan untuk mendapatkan ‘likes’ dan pengiktirafan digital boleh menjadikan emosi mereka terlalu bergantung kepada validasi luar dan akhirnya menjejaskan kestabilan emosi,” jelasnya.
Beza pemalu dan masalah serius
Sifat pemalu merupakan keadaan normal apabila kanak-kanak memerlukan masa untuk menyesuaikan diri sebelum mula berinteraksi seperti biasa.
Namun, masalah keyakinan diri yang serius melibatkan kebimbangan melampau sehingga mengganggu fungsi harian serta menghalang mereka daripada menyertai aktiviti sosial.
Dalam kes tertentu, ia turut disertai dengan simptom fizikal seperti sakit perut atau sesak nafas apabila berhadapan dengan situasi sosial.
Kesan jangka panjang
Jika tidak ditangani lebih awal, masalah ini boleh menjejaskan pembentukan identiti remaja dalam fasa Identity vs Role Confusion.
Individu mungkin sukar mengenal pasti potensi diri dan arah kehidupan, sekali gus meningkatkan risiko masalah kesihatan mental seperti kemurungan dan kebimbangan pada usia dewasa.
Selain itu, ia juga boleh memberi kesan terhadap hubungan interpersonal dan prestasi kerjaya kerana individu sentiasa merasakan diri tidak cukup baik atau tidak layak untuk berjaya.
Langkah untuk membantu
Ibu bapa dan guru memainkan peranan penting dalam membantu membina semula keyakinan diri kanak-kanak dengan menekankan usaha berbanding hasil.
Pujian yang spesifik seperti menghargai ketekunan dan proses pembelajaran lebih berkesan berbanding pujian umum semata-mata.
Selain itu, peluang untuk kanak-kanak menonjol dalam pelbagai bidang seperti seni, sukan dan komunikasi juga penting bagi membina rasa kompetensi diri.
Aktiviti seperti terapi seni, drama dan role-play turut membantu kanak-kanak mengekspresikan emosi dalam persekitaran yang selamat.
Beliau menambah, sokongan emosi yang konsisten daripada ibu bapa merupakan asas utama dalam pembentukan keyakinan diri yang sihat.
“Ibu bapa perlu menjadi pendengar yang tidak menghukum serta memberikan ruang kepada anak untuk meluahkan perasaan tanpa tekanan,” katanya.
Dalam masa sama, perbandingan antara adik-beradik atau rakan sebaya perlu dielakkan kerana ia boleh merosakkan harga diri dan mewujudkan rasa tidak cukup baik dalam diri kanak-kanak.










