JOHOR BAHRU: Permintaan tinggi terhadap kambing korban sempena Hari Raya Aidiladha tahun ini menyaksikan hampir 1,000 ekor kambing di Osman Goat Farm terjual dalam tempoh seminggu.
Pengarahnya, Osman Cheya Kutty berkata, sambutan luar biasa itu didorong peningkatan kesedaran umat Islam untuk melaksanakan ibadah korban walaupun berlaku kenaikan harga barangan, tahun ini.
Menurut beliau, pihaknya membuka jualan kambing korban bermula 15 Mei lalu hingga 26 Mei ini dengan kebanyakan pelanggan datang dari Singapura serta beberapa warga asing lain.
“Setakat ini sambutan sangat menggalakkan dan ada peningkatan tempahan pada saat-saat akhir. Kira-kira 40 peratus pelanggan kami adalah warga Singapura dan warga asing yang memilih melakukan korban di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kangkar Tebrau, di sini baru-baru ini.
Beliau berkata, harga kambing korban tahun ini meningkat sedikit berbanding tahun lalu antara RM1,300 hingga RM2,500 seekor bergantung kepada baka dan saiz.
“Kenaikan harga tidak dapat dielakkan berikutan peningkatan kos pengangkutan serta harga minyak, namun keadaan tersebut tidak menjejaskan minat orang ramai untuk terus melaksanakan ibadah korban dan akikah,” jelasnya. – UTUSAN










