EcoHub Pavilion KL perkenal teknologi kitar semula interaktif

EcoHub Pavilion KL perkenal teknologi kitar semula interaktif

Lembaga Pengarah Pavilion REIT, Nor Rejina (empat dari kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Khalid Mohamed ketika majlis perasmian Pavillion Cintai Kelestarian di Pavilion.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kuala Lumpur menyaksikan satu pendekatan baharu dalam kelestarian apabila EcoHub diperkenalkan sebagai hab interaktif yang menggabungkan teknologi kitar semula, pendidikan awam serta pengalaman pengguna dalam satu ruang gaya hidup moden.

Menerusi Pavilion Real Estate Investment Trust (Reit) komitmen terhadap kelestarian terus diperkukuhkan apabila bekerjasama dengan SWCorp Malaysia bagi melancarkan EcoHub bersempena dengan kempen Pavilion Cintai Kelestarian 2026.

Lembaga Pengarah Pavilion Reit, Nor Rejina Abdul Rahim berkata, inisiatif ini menjadikan Pavilion Kuala Lumpur antara pusat beli-belah pertama di Malaysia yang memperkenalkan hab kelestarian interaktif berskala penuh.

“Ia menggabungkan teknologi kitar semula serta pengalaman pengguna dalam satu ekosistem moden yang lebih mudah diakses,” ujarnya ketika ditemui pada majlis perasmian Pavilion Cintai Kelestarian di Pavilion Kuala Lumpur.

Pada masa yang sama, EcoHub diperkenalkan sebagai ruang khusus yang memberi fokus kepada pengurusan sisa dan berfungsi sebagai plaform pendidikan untuk meningkatkan kesedaran tentang gaya hidup yang lestari dalam kalangan pengunjung.

EcoHub diwujudkan sebagai platform yang memudahkan akses kepada amalan kitar semula dan ianya bukan sekadar kempen sementara tambah Rejina.

“Di Pavilion Kuala Lumpur, kami memandang kelestarian sebagai satu perjalanan berterusan dan bidang penting yang kami harap dapat terus berkembang bersama komuniti serta rakan kongsi kami,” kata Rejina.

Usaha tersebut kini memasuki tahun keempat pelaksanaannya selain turut menunjukkan perkembangan yang konsisten dan berperingkat.

Mesin Layan Diri Terbalik

Menurut Rejina, antara elemen utama EcoHub ialah penggunaan mesin layan diri terbalik atau Reverse Vending Machine (RVM) di mana pengunjung boleh memasukkan botol plastik atau tin aluminium untuk dikitar semula dengan mudah dan cepat.

Setiap transaksi akan direkodkan secara digital melalui aplikasi khas yang dinamakan RVMplus yang membolehkan pengunjung menerima kredit yang boleh ditebus semula melalui mesin layan diri yang disediakan di lokasi mesin.

“Pendekatan ini menjadikan kitar semula lebih menarik memandangkan ia disertakan bersama dengan sistem ganjaran di samping menggalakkan penyertaan lebih aktif daripada pengunjung pusat beli-belah,” katanya.

Pengunjung berpeluang meneroka pelbagai reruai interaktif berkaitan kelestarian dan amalan hijau sempena kempen Pavilion Cintai Kelestarian 2026 di Pavilion Kuala Lumpur.

Selain RVM, EcoHub turut dilengkapi dengan Smart Recycling Bins di mana tong pintar ini menggunakan sensor untuk membantu pengasingan sisa seperti plastik, kertas dan kotak dengan lebih sistematik.

Teknologi ini membantu meningkatkan kecekapan pengurusan sisa selain ia juga memudahkan proses kutipan dan pengasingan sampah pada peringkat awal.

Selain daripada itu, EcoHub turut menampilkan pengalaman interaktif melalui paparan digital di mana kandungan visual yang dipaparkan akan memberi penerangan tentang perjalanan sisa bermula dari penggunaan harian sehingga ke proses kitar semula.

Rejina berkata, pendekatan ini membantu pengunjung memahami impak sebenar terhadap alam sekitar selain menjadikan proses pembelajaran lebih interaktif, jelas dan mudah difahami oleh pengguna.

“Elemen dan visual penceritaan yang digunakan menunjukkan bagaimana tindakan kecil boleh memberi impak yang besar, selain berpotensi menarik minat pengunjung untuk turut serta dalam amalan kitar semula secara harian,” katanya.

Ujarnya, kempen ini juga menekankan kepentingan penggunaan yang lebih bertanggungjawab kerana pengunjung digalakkan untuk mengurangkan pembaziran dalam kehidupan seharian.

Kitar semula tekstil

EcoHub juga turut memperkenalkan inisiatif kitar semula tekstil dengan menyediakan tong derma pakaian yang disediakan di pusat beli-belah melalui kerjasama Upcycle4Better bersama LifeLine Clothing Malaysia.

Bagi mengurangkan jumlah sisa tekstil yang akhirnya akan berakhir di tapak pelupusan, pakaian yang masih boleh digunakan akan diproses serta digunakan semula.

Langkah ini dilaksanakan bagi meluaskan skop kelestarian daripada plastik kepada tekstil serta ia juga menunjukkan pendekatan yang lebih menyeluruh dalam pengurusan sisa.

Pelbagai aktiviti bertemakan kelestarian turut diadakan sepanjang kempen termasuk bengkel Do it Yourself (Diy), pameran interaktif serta gerai jenama lestari bagi memberi pengalaman langsung kepada pengunjung.

Nor Rejina menyaksikan demonstrasi penggunaan mesin kitar semula interaktif ketika pelancaran EcoHub sempena kempen Pavilion Cintai Kelestarian 2026 di Pavilion Kuala Lumpur.

Antara reruai yang hadir ialah jenama kecantikan yang terkenal dengan mesra alam serta bebas kekejaman terhadap haiwan, Lush yang mengadakan bengkel Multi-Sensory bagi memberi pengalaman unik kepada pengunjung untuk memhami konsep penjagaan diri secara semulajadi dan mesra alam.

Bagi The Body Shop pula tampil dengan bengkel lapisan wangian atau fragrance layering serta terrarium yang mengetengahkan elemen kreativiti, kecantikan dan kelestarian dalam kehidupan harian.

Reruai bertemakan kelestarian daripada Dome Café Malaysia, Mayban dan Pavilion Hotel Kuala Lumpur juga memaparkan pelbagai inisiatif serta komitmen jenama masing-masing dalam menyokong masa depan yang lebih lestari dan bertanggungjawab.

Selain itu juga terdapat tarikan yang dinamakan Spanish Steps yang menampilkan pameran bertemakan kelestarian yang melibatkan jenama seperti L’Occitane, GANNI (Club 21), Mulberry, Aveda, Kiehl’s, Lancôme, Royal Selangor, Bonia, Aēsop dan VIVAIA.

Setiap jenama ini mempamerkan komitmen terhadap amalan yang lebih bertanggunjawab terhadap alam sekitar dengan memberi fokus terhadap kecantikan, gaya hidup dan fesyen yang lestari.

Tambahan pula, pelbagai reruai dan aktiviti interaktif turut diadakan bagi memberi pendedahan kepada pengunjung mengenai amalan gaya hidup lestari menerusi pendekatan yang lebih santai dan kreatif.

Taylor’s University bersama Upcycle4Better turut menyumbang melalui pameran kreatif pelajar mereka yang menghasilkan karya daripada pakaian Converse terpakai yang diubah suai menjadi sesuatu yang baharu.

Inisiatif ini memberi ruang kepada kreativiti sambil menekankan konsep guna semula serta ia juga menunjukkan bagaimana sisa boleh diberi nilai baharu.

Tambah Rejina, akses yang diberikan penting berikutan pengunjung datang ke pusat beli-belah setiap hari jadi kami memudahkan pengunjung untuk mengitar semula dengan menyediakan kemudahan yang ada.

Beliau turut menegaskan kelestarian bukan hanya keuntungan sebaliknya ia melibatkan keseimbangan alam sekitar, komuniti dan ekonomi jangka panjang.

Pavilion Reit juga turut mengambil langkah mengurangkan penggunaan elektrik dan air ini termasuk penggunaan panel solar dan program pengkomposan sisa.

Pendekatan ini menjadikan pusat beli-belah bukan sekadar ruang komersial namun ia juga turut menjadi ruang kesedaran bagi masyarakat.

EcoHub Bantu Komuniti Melestarikan Alam

EcoHub juga memberi tumpuan kepada penglibatan komuniti dimana pengunjung digalakkan untuk menjadi sebahagian daripada perubahan ke arah melestarikan alam.

Kerjasama dengan SWCorp Malaysia memastikan usaha ini selari dengan agenda nasional iaitu bagi memperkukuh sistem pengurusan sisa negara.

Melalui ganjaran digital, proses kitar semula menjadi lebih menarik serta sesuai dengan gaya hidup moden yang berasaskan teknologi terkini.

Selain daripada itu, EcoHub juga menjadi contoh bagaimana sektor runcit boleh memainkan peranan dalam kelestarian selain ia juga menggabungkan perniagaan dan tanggungjawab sosial.

Inisiatif ini menunjukkan perubahan peranan pusat beli-belah moden bukan lagi sekadar tempat membeli-belah semata-mata sebaliknya terdapat juga usaha melestarikan alam.

Secara keseluruhan, EcoHub memperkenalkan model kitar semula yang lebih interaktif, mudah dan berimpak tinggi.

Antara rekaan fesyen kreatif yang dipamerkan menerusi projek Upcycle4Better hasil inovasi pelajar dalam mengangkat konsep kelestarian dan penggunaan semula bahan terpakai.

Ia menggalakkan masyarakat untuk bertindak dari langkah kecil ke arah perubahan besar yang lebih lestari

Dalam usaha memperluaskan impak EcoHub, Pavilion Reit turut merancang untuk menambah lebih banyak titik pengumpulan kitar semula di kawasan sekitar pada masa akan datang.

Langkah ini dilihat mampu meningkatkan lagi kadar penyertaan masyarakat dalam amalan kitar semula harian.

Pendidikan jangka panjang

Menurut Rejina, kerjasama dengan institusi pengajian tinggi dan sekolah turut dirancang bagi memperluaskan lagi skop pembelajaran berkaitan kelestarian.

Berikutan inisiatif ini memberi peluang kepada pelajar untuk memahami isu alam sekitar secara lebih praktikal.

Pavilion Reit juga menekankan kepentingan penilaian berterusan terhadap keberkesanan setiap inisiatif yang dilaksanakan.

“Setiap data dan maklum balas pengunjung akan digunakan untuk menambah baik sistem serta memperkukuh impak program pada masa hadapan,” ujarnya.

Pendekatan menyeluruh ini menunjukkan bahawa EcoHub bukan sekadar projek jangka pendek, tetapi satu model kelestarian yang boleh berkembang seiring perubahan gaya hidup masyarakat bandar.

Ia menggabungkan inovasi, pendidikan dan tanggungjawab sosial dalam satu ekosistem yang harmoni.

Secara keseluruhannya, EcoHub menjadi bukti bahawa usaha kelestarian boleh dilaksanakan secara kreatif dan inklusif dengan penglibatan semua pihak.

Inisiatif ini bukan sahaja memberi manfaat kepada alam sekitar, tetapi juga membentuk budaya baharu dalam kalangan masyarakat untuk lebih bertanggungjawab terhadap masa depan bumi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN