Isu tanah kerajaan punca tiada bekalan elektrik 13 tahun

Isu tanah kerajaan punca tiada bekalan elektrik 13 tahun

TANGKAP layar video tular memaparkan sebuah keluarga menahan kenderaan dinaiki Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Kampung Kuala Sat, Ulu Tembeling di Jerantut, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Masalah seorang penduduk Kampung Kuala Sat, Ulu Tembeling yang tidak mendapat bekalan elektrik sejak 13 tahun lalu berpunca daripada status tanah kediamannya yang dibina atas tanah milik kerajaan.

Difahamkan, status tanah tersebut menjadi halangan utama buat Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk melaksanakan kerja-kerja pemasangan talian elektrik ke rumah berkenaan.

Ahli Dewan Undangan (ADUN) Lantikan kerajaan nege­ri, Haris Salleh Hamzah berkata, pihaknya sebelum ini sedia maklum dengan masalah dihadapi penduduk berkenaan.

“Kita sebelum ini telah hu­bungi TNB untuk mengetahui status bekalan tersebut. Kini masalah itu sudah selesai dan saya dimaklumkan TNB sudah menerima permohonan penduduk berkenaan, manakala kelulusan sudah diperoleh daripada Kementerian Kemajuan Desa Wilayah (KKDW) untuk memasang tiang dan bekalan ke rumah berkenaan.

“Saya difahamkan sebanyak 33 batang tiang akan dipasang untuk menyambung talian bekalan dan dijangka siap dalam masa terdekat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Haris Salleh berkata, pihaknya juga akan berbincang dengan Pejabat Tanah Daerah Jerantut berhubung status tanah tersebut dan menyelesaikan dengan cara yang baik tertakluk kepada peraturan sedia ada.

Isu tersebut mendapat perhatian selepas video tular dalam media sosial menunjukkan penduduk berkenaan bersama keluarga menahan kenderaan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, ketika baginda melalui la­luan kampung tersebut selepas lawatan ke mukim Ulu Tembeling.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN