Peserta GSF 2.0 direnjat elektrik, puluhan patah tulang rusuk

Peserta GSF 2.0 direnjat elektrik, puluhan patah tulang rusuk

SERAMAI 175 aktivis termasuk 10 rakyat Malaysia yang menyertai GSF 2.0 diculik di perairan antarabangsa berhampiran Kepulauan Crete. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tentera Israel didakwa bertindak kejam terhadap peserta Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 yang kini ditahan di Penjara Ktziot termasuk penggunaan senjata perenjat elektrik (taser) secara kerap, selain penderaan fizikal dan mental.

Kumpulan peguam hak asasi yang mewakili kesemua peserta GSF 2.0, Pusat Undang-undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (Adalah) melaporkan, sekurang-kurangnya tiga individu dimasukkan ke hospital sebelum dibebaskan oleh rejim Zionis.

Katanya, pihaknya menerima sejumlah besar aduan mengenai keganasan melampau yang memperlihatkan corak baharu penderaan fizikal yang disengajakan ketika melawat mereka di Pelabuhan Ashdod, semalam.

“Keganasan tersebut mengakibatkan kecederaan serius dan meluas, termasuk sekurang-kurangnya tiga individu yang dimasukkan ke hospital sebelum dibebaskan. Peguam turut merekodkan puluhan peserta yang disyaki mengalami patah tulang rusuk sehingga menyebabkan kesukaran bernafas.

“Laporan juga menunjukkan penggunaan taser secara kerap terhadap peserta, selain kecederaan akibat tembakan peluru getah semasa flotila dipintas dan ketika mereka dipindahkan ke bot tentera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut badan guaman itu, aktivis yang ditahan turut mengalami keganasan melampau di atas kapal serta sepanjang proses pemindahan antara bot dan pelabuhan.

“Selain itu, Israel memaksa aktivis berada dalam posisi tekanan fizikal ketika dibawa bergerak di sekitar pelabuhan, mereka dipaksa berjalan dalam keadaan membongkok sepenuhnya sambil belakang mereka ditekan dengan kasar oleh pengawal.

“Peserta juga dipaksa duduk bertinggung di atas lutut dalam bot untuk tempoh yang lama,” katanya.

Adalah berkata, selain penderaan fizikal, peserta turut mengalami penghinaan teruk serta gangguan seksual khususnya membabitkan wanita.

“Adalah akan terus memantau situasi ini dengan rapat. Peserta dijadual dibawa esok untuk hadir di hadapan tribunal sementara menunggu proses pengusiran mereka.

“Adalah akan menuntut untuk hadir dalam prosiding tersebut bagi memberikan representasi guaman kepada mereka. Adalah terus menegaskan tuntutan supaya semua peserta flotila yang kini ditahan secara tidak sah dibebaskan segera tanpa syarat,” katanya.

Nasib 428 peserta misi GSF 2.0 dari 40 negara termasuk 29 rakyat Malaysia yang dipintas Israel malam kelmarin, masih belum diketahui.

Ketua Pengarah Pusat Ka­walan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, kapal terakhir yang ditahan ialah Zefiro dan Alcyone yang dilapor berada paling depan dan berada pada kedudukan 80 batu nautika dari pantai Gaza.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN