Rombak kontrak pertahanan negara, teliti klausa force majeure - Utusan Malaysia

Rombak kontrak pertahanan negara, teliti klausa force majeure

KAPAL Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kontrak perolehan aset pertahanan negara perlu dirombak dan dilindungi menerusi perjanjian strategik kalis risiko, bukan berasaskan kontrak komersial semata-mata sehingga mendedahkan kelemahan serta memberi implikasi kepada pembeli.

Penganalisis pertahanan, Prof. Madya Dr. Muhammad Hanafi Azami berkata, kontrak perlu membezakan antara bencana alam dengan keputusan politik unilateral dan bukan hanya sekadar berlindung di sebalik klausa force majeure (keadaan di luar kawalan).

Katanya, sesebuah kontrak perlu mempunyai klausa bagi membezakan antara bencana alam dengan keputusan politik unilateral.

“Jika bekalan dihentikan kerana perubahan dasar kerajaan penjual, pembekal (syarikat) tetap perlu membayar ganti rugi penalti atau membiayai kos integrasi sistem pengganti (seperti kos melantik jurutera baharu untuk menukar perisian kapal).

“Dalam kes perolehan aset peluru berpandu anti kapal (NSM) buatan Norway, mereka menggunakan force majeure untuk melepaskan syarikat Kongsberg daripada liabiliti,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, Malaysia secara rasmi menghantar notis tuntutan lebih RM1 bilion kepada syarikat pertahanan Norway, susulan kegagalan menghantar NSM untuk Kapal Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan menuntut kos langsung dan tidak langsung susulan keputusan unilateral Norway menarik balik lesen eksport bagi sistem pertahanan berkenaan.

Sebelum ini, Kementerian Luar Norway menarik balik beberapa lesen eksport berkaitan teknologi tertentu sebagai sebahagian daripada usaha memperketatkan kawalan eksport negara itu.

Laman web syarikat Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA) melaporkan, perolehan NSM dimeterai antara TLDM dan KDA pada April 2018 dengan nilai kontrak RM571.9 juta untuk dilengkapkan pada kapal LCS TLDM.

Muhammad Hanafi berkata, Kementerian Pertahanan perlu menggunakan akaun escrow (akaun amanah) dan setiap pembayaran perlu dilaksanakan berasaskan pencapaian.

“Jangan lepaskan bayaran penuh terlalu awal. Sebahagian besar bayaran contohnya mungkin pada kadar 30 sehingga 40 peratus dengan disimpan dalam akaun escrow.

“Wang hanya akan dilepaskan kepada penjual setelah senjata selamat tiba di pelabuhan Malaysia dan melepasi ujian pemeriksaan fizikal. Ini memberikan tekanan kewangan kepada pembekal untuk memastikan lesen eksport diluluskan,” ujarnya.

Menurut Muhammad Hanafi, setiap perolehan aset pertahanan juga perlu mempunyai jaminan antara ‘kerajaan dengan kerajaan’ bagi mengikat.

“Setiap pembelian besar mesti disertakan dengan memorandum persefahaman (MoU). Kerajaan penjual mesti memberi jaminan diplomatik bahawa mereka tidak akan menarik balik lesen eksport secara mengejut, kecuali jika berlaku pelanggaran syarat penggunaan oleh pembeli, misalnya senjata digunakan untuk tujuan yang dilarang,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN