GAZA: Peperangan Israel ke atas Gaza memasuki hari ke-200 dengan kebimbangan peningkatan serangan darat Israel di bandar Rafah, selatan Gaza yang sesak dengan pelarian.
Malah, tentera Israel dilaporkan sudah melancarkan serangan sengit ke atas kawasan kejiranan Gaza iaitu di Tuffah, Shujayea dan Zeitun.
SASAR KEM PELARIAN
Tembakan dan letupan kuat kedengaran di barat daya Gaza dan Khan Younis di selatan manakala serangan udara berlaku berhampiran kem pelarian Bureij dan tembakan meriam mengenai kem pelarian Nuseirat.
Tentera Israel berkata, mereka menyerang beberapa kedudukan Hamas di selatan Gaza dengan pesawat perangnya mengenai kira-kira 25 sasaran termasuk kawasan pemerhatian tentera dan pos pelancaran peluru.
Sehingga kini, serangan tentera Israel membunuh sekurang-kurangnya 34,183 orang di Gaza sejak 7 Oktober lalu, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.
Jumlah kematian terkini kementerian yang dikeluarkan kelmarin sekurang-kurangnya 32 kematian dalam tempoh 24 jam sebelumnya.
Tentera Israel menjatuhkan 75,000 tan bahan letupan di Gaza, menjadikan kebanyakan bangunan dan infrastruktur awam runtuh, menurut angka yang dikeluarkan oleh Pejabat Media Kerajaan Palestin.
Secara keseluruhan, serangan Israel merosakkan atau memusnahkan 380,000 unit rumah, 412 sekolah dan universiti, 556 masjid, tiga gereja serta 206 tapak arkeologi dan warisan.
Selain itu, serangan menyebabkan 32 hospital dan 53 pusat kesihatan tidak beroperasi dengan 126 ambulans turut disasarkan.
Kemusnahan ini berjumlah sekurang-kurangnya AS$30 bilion (RM143.303 bilion) dalam kerugian ekonomi, kata pejabat media itu.
BERITA NGERI
Bagi warga Palestin di Gaza, Isnin lalu adalah hari kengerian terbaharu dengan agensi Pertahanan Awam wilayah itu berkata lebih 340 mayat ditemukan sejak tiga hari sebelumnya di Hospital Nasser di Khan Younis berikutan pengunduran tentera Israel dari kompleks perubatan berkenaan.
Tentera Israel mengatakan bahawa dakwaan mereka mengebumikan mayat Palestin adalah tidak berasas dan menafikan dakwaan bahawa mereka terlibat di sebalik pembunuhan beramai-ramai berkenaan.
Malah, Ketua Majlis Pelarian Norway, Jan Egeland berkata, pelbagai pihak seolah-olah menghitung masa untuk melihat peperangan yang akan berlaku di Rafah.
Bagaimanapun, Egeland turut memberi amaran bahawa serangan darat ke atas Rafah akan menyebabkan malapetaka dan keadaan lebih buruk.
SASAR KEMUDAHAN INFRASTRUKTUR
Israel berulang kali menyasarkan kemudahan perubatan Gaza semasa perang selain menuduh Hamas menggunakan kemudahan infrastruktur itu sebagai pusat arahan dan menahan tebusan yang diculik pada 7 Oktober lalu.
Hamas bagaimanapun menafikan tuduhan berkenaan.
GESA SIASATAN SEGERA
Dalam pada itu, Ketua Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Volker Turk menggesa siasatan bebas dilakukan terhadap kematian di hospital Al-Shifa Nasser dan Kota Gaza.
Beliau berkata, perlindungan khas diberikan kepada kemudahan perubatan di bawah undang-undang antarabangsa.
Sementara itu, Jurucakap Pejabat Hak Asasi Manusia PBB, Ravina Shamdasani berkata, beberapa mayat yang ditemukan di Hospital Nasser didakwa ditemukan dengan keadaan tangan terikat dan dilucutkan pakaian. –AGENSI











