GAZA CITY: Kumpulan Hamas berikrar tidak akan ada pertukaran tahanan sebelum gencatan senjata kekal dan pengunduran penuh Israel dari Gaza.
Pemimpin Kanan Hamas, Osama Hamdan memberitahu dalam sidang akhbar di Beirut bahawa mereka bertindak balas kepada cadangan daripada pengantara Mesir dan Qatar.
“Keselamatan rakyat kita tidak akan tercapai kecuali melalui gencatan senjata kekal, penamatan pencerobohan, pengunduran Israel dari setiap inci di Gaza dan kemasukan bantuan kepada rakyat kita di Gaza adalah keutamaan kami.
“Sebarang pertukaran banduan tidak akan selesai kecuali selepas selesai semua ini,” katanya.
Kenyataan Hamas itu dibuat ketika perunding berlumba-lumba mencapai perjanjian yang akan memperuntukkan jeda dalam pertempuran dengan pembebasan tebusan Israel yang ditahan di Gaza sebelum bulan suci Ramadan.
Sama ada tarikh akhir itu boleh dipenuhi, masih tidak pasti. Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebelum ini menolak untuk menghentikan kempen ketenteraan sebelum Hamas dimusnahkan sepenuhnya.
Selasa lalu, Osama menuduh Israel menangguhkan untuk mencapai persetujuan dan memberi amaran bahawa rundingan itu tidak akan terbuka kerana Israel meneruskan serangannya di Gaza.
“Kami mengesahkan syarat kami untuk gencatan senjata itu,” katanya.
Reuters dan Al Jazeera melaporkan minggu lalu bahawa Hamas sedang menyemak draf cadangan gencatan senjata awal yang berlangsung kira-kira enam minggu di mana 40 tebusan Israel akan ditukar dengan 400 tahanan Palestin.
Kenyataan balas Osama dibuat hanya beberapa jam selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden berkata gencatan senjata berpotensi berada di tangan Hamas ketika dia menaiki Air Force One di lapangan terbang Hagerstown.
Biden berkata, Israel bekerjasama dan gencatan senjata adalah perlu.











