Tersalah didikan, anak isteri jadi ‘tuan'

Tersalah didikan, anak isteri jadi ‘tuan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAK terhitung kenangan indah setiap kali tibanya Ramadan, terutama bersama orang-orang tersayang.

Masih terbayang wajah ceria dan ketawa mereka. Tetapi kenangan indah itu, berubah menjadi kesedihan kerana sebahagian besar mereka sudah tiada lagi.

Inilah yang turut dirasai Munir (bukan nama sebenar) di saat umat Islam menghitung hari menuju Ramadan tahun ini.

Dia masih terasa kehilangan bapa saudaranya, Rahmat (bukan nama sebenar) yang kembali menemui Maha Pencipta sehari sebelum Ramadan, Mac tahun lalu.

Dalam kiriman emelnya, kepada saya baru-baru ini, Munir menulis, dia tidak berniat untuk mengaibkan bapa saudara mahupun keluarga terdekat.

Namun, katanya, ia lebih kepada memberi pengajaran kepada diri sendiri dan sesiapa sahaja yang bergelar suami atau isteri, ibu bapa dan anak-anak di luar sana.

Memulakan cerita, bapa saudaranya yang merupakan suami dan bapa kepada enam anak itu terpaksa berdepan pengakhiran hidup yang cukup menyedihkan.

Semasa menghembuskan nafas terakhir isteri dan anak-anaknya tiada di sisi.

Tulis Munir, segala-galanya bermula selepas bapa saudaranya itu disahkan menghidap kanser paru-paru tahap empat pada Ogos tahun 2022.

Sejak itu tahap kesihatannya mulai merosot dan perlu menjalani rawatan berkala.

Awalnya, isteri dan anak-anak dilihat tidak kisah menguruskan bapa saudara, namun sikap mereka mula
berubah setelah beberapa urusan pembahagian harta selesai.

Masing-masing mula tolak menolak dalam urusan melibatkan penjagaan bapa saudara.

Paling mengejutkan, mereka memilih untuk membawa bapa saudara pulang ke rumah daripada membazir wang dirawat di hospital.

Kata Munir, sepanjang tempoh terlantar sakit di rumah, dia dipertanggungjawab menjaga bapa saudaranya itu.

“Saya tidak menolak permintaan ibu apabila diminta untuk membantu menjaga sementara bapa saudara yang merupakan abang sulung ibu.

“Kebetulan ketika itu saya baru sahaja menamatkan pengajian di peringkat ijazah dan masih mencari pekerjaan,” tulis Munir.

Sepanjang tempoh berada di sana, dia dapat melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana layanan isteri dan sepupu-sepupunya terhadap bapa mereka.

“Saya sangat-sangat sedih melihat keadaan bapa saudara ketika itu. Bayangkan sepanjang tempoh dia terlantar di rumah, tidak ada seorang pun anak-anaknya mahu mendekati apa lagi menguruskan makan minum, penjagaan diri.

“Paling mengejutkan, isteri sendiri cuba menjauh diri,” tulisnya.

Menurut Munir, ketika bapa saudara menghembuskan nafas terakhir hanya dia berada di sisi.

Sementara isteri dan anak-anak bapa saudara bercuti di luar negara.

Dia benar-benar tidak menyangka, lelaki bertubuh tegap yang selama ini banyak berkorban untuk keluarga ditinggalkan begitu sahaja dalam keadaan kurus kering dan cengkung.

Menyambung cerita, tulis Munir, sikap isteri dan anak-anak mula berubah selepas bapa saudara jatuh sakit.

Katanya, apa yang membuatkan dia terkilan, tidak ada sebarang ikhtiar oleh isteri dan anak-anaknya untuk membawa bapa saudara ke hospital mendapatkan rawatan susulan.

“Saya tidak melihat faktor kewangan menjadi punca. Ini kerana sepanjang bapa saudara terlantar sakit, isteri dan anak-anak tetap menjalani kehidupan mewah dan bercuti keluar negara seperti sebelumnya.

“Mereka lebih sanggup membelanjakan wang untuk berbelanja dan makan angin daripada menghantar bapa saudara mendapatkan rawatan susulan,” tulis Munir.

Dalam emelnya lagi, Munir menulis, sehingga ke hari ini sebetulnya tidak mengetahui secara jelas perniagaan apa yang diusahakan bapa saudara.

“Apa yang saya tahu, soal duit ringgit tidak menjadi masalah kepada mereka sekeluarga. Sebab itu, saya tidak hairan kenapa kesemua sepupu saya tidak bekerja dan bergantung hidup dengan bapa mereka,” ujarnya.

Bercerita lanjut, walaupun sibuk dengan urusan perniagaan, sebulan sekali bapa saudara akan pulang ke kampung bertemu ibu, yang merupakan satu-satu adiknya.

“Bapa saudara pernah menyatakan kesedihan kepada ibu, dia berasa gagal menjadi bapa dan suami yang baik kepada keluarga.

“Namun sudah terlambat untuk memberi teguran dan nasihat,” tulis Munir.

Tulis Munir, bapa saudara turut menyatakan kekesalan kerana gagal mendidik anak-anak dan isteri dengan sempurna terutama dalam didikan agama.

Menurut apa yang diceritakan ibu Munir, bapa saudara turut melahirkan kekesalan kerana sering melindungi anak-anak sekiranya mereka melakukan sebarang kesalahan.

Disebabkan sikapnya itu juga, anak-anak malas bekerja, bahkan terlibat dengan masalah sosial seperti penagihan dadah, mabuk dan kaki perempuan.

Tanpa disedari, tindakan itu telah membentuk peribadi anak-anak yang tidak prihatin, tidak sopan dan hilang rasa hormat kepadanya.

Ini kerana selama ini anak-anak mendapatkan sesuatu dengan begitu mudah sehingga sukar untuk bersyukur.

Mengakhiri emelnya, Munir menulis apa yang berlaku kepada bapa saudara sesungguhnya menjadi pengajaran kepada diri sendirinya.

Mungkin bagi sesetengah orang melihat ujian yang menimpa bapa saudaranya itu berpunca daripada diri sendiri.

Namun demikian, yakinlah bahawa ujian yang menimpa bukan sia-sia. Sudah pasti ada hikmah dari Allah SWT.

Sebagaimana Firman Allah SWT bermaksud: Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?. Dan demi sesungguhnya, Kami telah menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian) nyata apa yang diketahui Allah tentang orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya, tentang orang-orang berdusta.(Al-Ankabut:2-3)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×