PETALING JAYA: Filem arahan Adrian Teh, Riversi, terpilih mewakili Malaysia di Festival Filem Udine Far East ke-26, Itali, bulan hadapan.
Naskhah yang menelan belanja sebanyak RM4.5 juta itu merupakan cubaan pertama Adrian keluar daripada genre aksi seperti filem Malbatt: Misi Bakara dan Paskal yang dihasilkan sebelum ini.
“Saya sangat berbangga mewakili Malaysia sekali lagi ke Itali. Riversi ialah genre filem yang baru untuk saya.
“Namun sangat bersyukur kerana projek ini dijayakan oleh ramai pelakon hebat dan pasukan yang komited sepanjang penggambaran.
“Harapan saya agar naskhah ini dapat diterima dan disukai oleh penonton di luar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Memberi sedikit gambaran jalan cerita, menurut Adrian, Riversi menceritakan tentang kasih sayang seorang suami yang tidak berbelah bahagi.
“Saya boleh katakan ia filem tentang kehilangan, cinta dan peluang kedua. Penggambaran baru selesai dilakukan pada Januari tahun ini.
“Tak sabar menunggu ia ditayangkan di negara sendiri pada suku keempat tahun ini,” jelasnya.
Turut sama menjayakan filem ini ialah Beto Kusyairy, Shiqin Kamal, Vanidah Imran and Hasnul Rahmat.
Festival Filem Udine Far East ke-26 bakal berlangsung pada 24 April sehingga 2 Mei akan datang.
Terdahulu, Adrian turut mewakili Malaysia ke pertandingan yang sama menerusi filem The Assistant.










