'Sekatan bantuan di Gaza adalah keganasan moral'

‘Sekatan bantuan di Gaza adalah keganasan moral’

TRAK Bulan Sabit Merah Mesir sarat dengan bantuan kemanusiaan tersadai di luar sempadan Rafah, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres yang membuat lawatan ke Rafah menyifatkan bantuan yang disekat ke Gaza adalah satu keganasan moral.

“Di sini dari persimpangan ini, kita dapat melihat kesedihan dan kekejaman semua. Barisan panjang trak bantuan terhalang di satu sisi pintu pagar, bayang-bayang kelaparan yang panjang di sisi lain.

“Itu lebih daripada tragis. Ia satu keganasan moral,” kata Guterres.

Dalam ucapannya, Guterres menggesa gencatan senjata kemanusiaan segera dan menggesa Israel membenarkan akses menyeluruh dan tidak terhalang untuk barangan kemanusiaan di seluruh Gaza.

Lawatan setiausaha agung itu dibuat ketika Israel mengancam untuk melancarkan operasi ketenteraan besar di Rafah di mana majoriti penduduk Gaza yang dipindahkan kini berlindung.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken antara yang menggesa Israel supaya tidak menyerang Rafah.

Blinken bertemu dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Jumaat lalu di Tel Aviv untuk menghalang serangan ke atas bandar Gaza selatan.

“Ia berisiko membunuh lebih ramai orang awam. Ia berisiko menimbulkan malapetaka yang lebih besar dengan pemberian bantuan kemanusiaan. Ia berisiko mengasingkan lagi Israel di seluruh dunia dan menjejaskan ke­selamatan dan kedudukan jangka panjangnya,” kata Blinken selepas pertemuannya dengan Netanyahu dan Kabinet perangnya.

Tetapi Netanyahu berkata, Israel tidak memerlukan soko­ngan AS untuk menyerang Rafah.

“Saya juga berkata bahawa kita tidak mempunyai cara untuk mengalahkan Hamas tanpa pergi ke Rafah dan menghapuskan baki batalion di sana.

“Dan saya memberitahunya bahawa saya berharap kami akan melakukannya dengan sokongan AS, tetapi jika kami perlu, kami akan melakukannya sendirian,” kata Netanyahu dalam satu kenyataan.

Lebih sejuta rakyat Palestin berlindung di Rafah, kebanyakannya selepas melarikan diri dari bahagian lain Gaza untuk mencari keselamatan di tengah-tengah perang.

Pertemuan Blinken dengan pegawai Israel di Tel Aviv pada Jumaat lalu diadakan ketika usaha diteruskan untuk mendapatkan gencatan senjata selama enam minggu di antara Israel dan Hamas sebagai pertukaran untuk membebaskan tebusan yang dirampas dalam serangan Hamas pada 7 Oktober lalu.

AS membuat cadangan run­dingan di Qatar untuk cuba merapatkan jurang antara ke­dua-dua pihak mengenai berapa banyak tahanan yang akan dibebaskan Israel bagi setiap pembebasan tebusan Hamas, jika gencatan senjata dicapai.

Hamas mengumumkan bahawa seorang tebusan Israel me­ninggal dunia kerana kekurangan ubat dan makanan manakala Israel secara amnya tidak mengulas mengenai pe­ngumuman ini.– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×