KAHERAH: Rundingan gencatan senjata di antara pejuang Hamas dan pengantara terputus di tengah jalan dengan hanya baki beberapa hari lagi untuk memasuki bulan Ramadan.
Pegawai Kanan Hamas, Bassem Naim memberitahu Reuters, kumpulan pejuang itu membentangkan cadangannya untuk perjanjian gencatan senjata kepada pengantara selama dua hari rundingan.
Kini, Hamas dan pengantara sedang menunggu jawapan daripada Israel yang didapati cuba menjauhkan diri daripada pusingan rundingan ini.
“(Perdana Menteri Israel) Benjamin Netanyahu tidak mahu mencapai persetujuan dan ‘bola’ kini berada di gelanggang Amerika Syarikat (AS) untuk mendesaknya untuk membuat perjanjian, kata Bassem.
Israel enggan mengulas secara terbuka mengenai rundingan di Kaherah.
Satu sumber memberitahu Reuters sebelum ini bahawa Israel menjauhkan diri kerana Hamas telah menolak permintaannya untuk memberikan senarai semua tebusan yang masih hidup.
Naim berkata, hal ini adalah mustahil tanpa gencatan senjata terlebih dahulu kerana tebusan bertaburan di zon perang dan dipegang oleh kumpulan berasingan.
Rundingan Kaherah dianggap sebagai fasa terakhir untuk mencapai gencatan senjata selama 40 hari di mana berpuluh-puluh tebusan akan dibebaskan dan bantuan akan disalurkan ke Gaza untuk mengelakkan kebuluran buatan manusia.
Sumber keselamatan Mesir berkata, mereka masih berhubung dengan Israel untuk membenarkan rundingan diteruskan tanpa kehadiran delegasi mereka.
AS yang merupakan sekutu terdekat Israel dan penaja rundingan gencatan senjata berkata, perjanjian yang diluluskan Israel sudah pun dibincangkan dan terpulang kepada Hamas untuk menerimanya.
Hamas mempertikaikan kenyataan tersebut dan menganggap ini sebagai percubaan untuk mengalihkan kesalahan daripada Israel jika rundingan itu runtuh tanpa kesepakatan.
AS juga menggesa Israel untuk melakukan lebih banyak lagi bagi mengurangkan malapetaka kemanusiaan di Gaza di mana lebih 30,000 orang terbunuh akibat serangan Israel yang dilancarkan selepas serangan Hamas yang mengorbankan 1,200 orang pada Oktober tahun lalu. -REUTERS










