TOKYO: Sebuah roket ciptaan sebuah syarikat Jepun meletup selepas beberapa saat pelancarannya untuk ke angkasa lepas hari ini.
Roket Kairos Space One yang berpangkalan di Tokyo meletup di wilayah pantai Wakayama di barat Jepun yang membawa satelit ujian kecil kerajaan.
Dalam kira-kira lima saat selepas berlepas, roket bahan api pepejal itu meletus dan mengeluarkan asap putih berkepul-kepul di sekitar kawasan pergunungan terpencil.
Space One dalam satu kenyataan memberitahu, butiran kejadian berkenaan sedang disiasat.
“Pelancaran roket Kairos pertama dilaksanakan, tetapi kami mengambil langkah untuk membatalkan penerbangan itu,” kata kenyataan tersebut.
Adegan dramatik roket yang terbakar yang jatuh ke cerun dan cuba dipadamkan itu ditonton oleh ratusan penonton di kawasan tontonan awam termasuk kawasan pantai berhampiran.
Kegagalan itu memberi tamparan hebat kepada usaha Jepun untuk memasuki pasaran pelancaran satelit yang berpotensi dan menguntungkan.
Space One berharap untuk menjadi firma swasta pertama negara yang meletakkan satelit ke orbit dan rancangannya adalah untuk Kairos iaitu perkataan Yunani kuno yang bermaksud saat yang tepat.
Kekurangan alat ganti dan masalah lain dilaporkan menyebabkan Space One menangguhkan pelancaran Kairos lima kali sebelum percubaan pelancaran dilakukan hari ini.
Datuk Bandar Kushimoto, Katsumasa Tashima, bandar yang dihuni 15,000 penduduk di Wakayama, tempat pelancaran yang gagal itu berlaku turut menyuarakan rasa terkejut dan kecewa.
“Saya tidak membayangkan hasil seperti ini,” katanya kepada pemberita sejurus selepas letupan itu.
Tetapi bandar itu akan terus menyokong Space One dan pihaknya mahu terus menawarkan bantuan kami supaya roket pertama akan berjaya dilancarkan, katanya.
Space One ditubuhkan pada 2018 oleh sekumpulan perniagaan teknologi Jepun yang utama, termasuk Canon Electronics, IHI Aerospace, firma pembinaan Shimizu dan Bank Pembangunan Jepun milik kerajaan.
Julai lalu, sebuah lagi enjin roket Jepun meletup semasa ujian sekitar 50 saat selepas pencucuhan.










