Pekerja syarikat luar pesisir didenda RM4,000 palsu maklumat mohon PPRT - Utusan Malaysia

Pekerja syarikat luar pesisir didenda RM4,000 palsu maklumat mohon PPRT

YUSHAFISZAM Yusof yang dituduh memalsukan maklumat untuk memohon bantuan PPRT dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY/ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang pekerja syarikat luar pesisir didenda RM4,000 kerana memalsukan maklumat untuk memohon bantuan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) pada 2019.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu Mohd. Azhar Othman membuat keputusan itu selepas Yushafiszam Yusof, 33, mengaku bersalah atas pertuduhan dihadapnya, hari ini.

Berdasarkan pertuduhan, Yushafiszam didakwa dengan curangnya menggunakan sebagai tulen satu dokumen iaitu borang PPRT untuk memohon bantuan membina rumah baharu.

Tertuduh yang bekerja ‘housekeeper’ itu didakwa melakukan kesalahan pada Mei 2019 dengan memohon bantuan PPRT bernilai RM50,000 untuk membina sebuah rumah di Kampung Talong, Dungun.

Jika sabit kesalahan, Yushafiszam boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan (KK) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama.

Mengikut fakta kes, tertuduh ketika ditemu bual bagi bantuan itu mengesahkan bekerja sendiri dengan gaji bulanan RM900 sedangkan bergaji RM1,700 sehingga RM3,800.

Tertuduh melalui peguamnya merayu hukuman denda paling minimum daripada mahkamah mengambil kira pendapatan tidak menentu dan pengakuan bersalah yang menjimatkan masa semua pihak.

Pihak pendakwaan kemudian memohon hukuman setimpal memandangkan kes melibatkan dana awam dengan perbuatan tertuduh telah menafikan hak pemohon yang lebih layak.

Hakim Mohd. Azhar ketika membacakan keputusannya bersetuju tertuduh wajar dihukum setimpal sebelum menjatuhkan hukuman denda RM4,000 dan penjara dua bulan jika gagal bayar.

“Dengan perbuatan ini, bantuan kepada golongan yang lebih layak tidak dapat disampaikan dan jika tidak dibendung, bantuan kerajaan tidak akan sampai kepada kumpulan sasaran,” jelas beliau.

Prosiding pendengaran dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mariah Omar manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Kamaruzaman A. Wahab. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN