KOTA TINGGI: Taktik sekumpulan penjenayah memajakkan gelang emas palsu pada nilai tinggi tumpas selepas lima individu termasuk dua wanita ditahan polis di Sungai Rengit, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, tiga lelaki tempatan, seorang wanita tempatan dan seorang wanita warganegara asing berusia antara 34 hingga 62 tahun itu ditahan pada pukul 3 petang.
“Polis terima aduan seorang wanita memaklumkan telah menerima seutas gelang emas seberat 23 gram daripada seorang suspek. Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mendapati gelang emas berkenaan adalah palsu.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Balai Polis Sungai Rengit berjaya menahan kelima-lima suspek,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Yusof, semakan mendapati salah seorang suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes penjualan emas palsu di Alor Setar, Kedah, manakala dua lagi suspek mempunyai rekod berkaitan kesalahan narkotik.
“Penahanan ini membantu polis menyelesaikan beberapa kes melibatkan pemajakan dan penjualan emas palsu di sekitar daerah Kota Tinggi.
“Kesemua suspek ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang sembilan bulan dan tidak lebih 10 tahun, sebat serta denda jika sabit kesalahan,” katanya.-UTUSAN











